Jet.com bakal jadi peneraju segmen e-dagang dunia

Jet.com bakal jadi peneraju segmen e-dagang dunia

WASHINGTON, 19 Mei – Walaupun laman web runcit dalam talian Jet.com masih belum dilancarkan kepada orang ramai, ia sudah menarik perhatian dunia sebagai pencabar utama Amazon.

Jet setakat ini sudah mendapat suntikan dana AS$220 juta untuk perkhidmatan e-dagang selain memiliki 1,600 rakan niaga serta menyasarkan jualan sebanyak 10 juta unit produk apabila ia dilancarkan tidak lama lagi.

Jurucakap Jet berkata, sebagai permulaan, syarikat mengenakan caj AS$49 setahun untuk keahlian yang membolehkan pengguna mendapatkan harga terendah untuk apa sahaja barangan yang dibeli.

Ketika Jet.com dalam fasa ujian beta, beberapa laporan media melaporkan bahawa harga yang ditawarkan – daripada rangkaian barangan elektronik hingga keperluan seisi rumah adalah lebih rendah berbanding Amazon.

“Dengan hanya lapan peratus daripada jualan runcit yang berlangsung dalam talian sekarang, kami percaya bahawa pasaran e-dagang masih mempunyai banyak ruang untuk syarikat baru, inovasi dan pertumbuhan.”

“Jet tidak bercadang untuk bersaing dengan pemain besar e-dagang atau ditenggelamkan oleh mereka, pasaran e-dagang cukup besar untuk pelbagai syarikat muncul dan berjaya pada masa yang sama,” katanya.

Jet akan memperkenalkan harga dinamik yang mana ia akan berubah bergantung kepada jumlah barangan yang dibeli. Ia dilakukan oleh sepasukan jurutera yang sentiasa membuat perkiraan yang mana penjual boleh menghantar pesanan pembeli dengan cekap dan murah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA