Jet pejuang UAE hilang

Jet pejuang UAE hilang

DUBAI, 14 Mac (AFP) – Sebuah jet pejuang Emiriah yang terlibat dalam misi gempur ke atas pemberontak yang disokong oleh Iran di Yaman dilaporkan hilang, menurut Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

“Kawalan Tertinggi Pasukan Bersenjata hari ini mengumumkan bahawa sebuah jet pejuang yang menyertai pasukan bersekutu Arab yang diketuai Arab Saudi di Yaman telah hilang,” menurut satu kenyataan di agensi berita rasmi WAM.

Itu adalah kes pertama yang diketahui berhubung sebuah jet Emiriah dari pasukan bersekutu yang dilaporkan hilang sejak kempen yang diketuai Arab Saudi bermula pada Mac tahun lalu.

Para pegawai keselamatan dan saksi-saksi memberitahu AFP bahawa sebuah jet telah terhempas di sebuah gunung berhampiran hari ini ketika kapal terbang perang pasukan bersekutu beroperasi di kawasan berhampiran selepas pertempuran meletus antara pasukan Yaman dan para pejuang jihad.

Seorang budak lelaki duduk di sebahagian pesawat milik UAE yang terhempas di bandar Aden, Yaman pada 14 Mac. – Reuters
Seorang budak lelaki duduk di sebahagian pesawat milik UAE yang terhempas di bandar Aden, Yaman pada 14 Mac. – Reuters

Al-Qaeda dan kumpulan IS telah mengambil kesempatan dari konflik antara pemberontak yang disokong Iran dan pasukan prokerajaan untuk mengukuhkan kehadiran mereka di selatan, termasuklah di Aden.

Pesawat helikopter Apache terlibat dalam pertempuran hari ini, menurut para pegawai keselamatan. “Kami melihat helikopter Apache melepaskan tembakan roket dan melepaskan tembakan mesingan ke arah militan-militan Al-Qaeda” di daerah Mansura, Aden, menurut seorang saksi.

Sumber keselamatan menganggarkan kira-kira 300 pejuang Al-Qaeda yang lengkap bersenjata berkubu di Mansura. UAE tidak segera memberikan butiran tentang kapal terbang yang hilang itu.

Pada bulan Disember, jet pejuang F-16 Bahrain terhempas di Arab Saudi disebabkan ‘kesilapan teknikal’

ARTIKEL YANG SAMA