Jet Rusia terbang hampiri Tentera Laut AS

Jet Rusia terbang hampiri Tentera Laut AS

WASHINGTON, 8 Sept – Jet pejuang Rusia terbang dalam lingkungan 10 kaki dari pesawat pemantau Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), dalam apa yang disifatkan pegawai Amerika sebagai pintasan tidak selamat di Laut Hitam, kata Pentagon kelmarin.

Jurucakap Pentagon, Kapten Jeff Davis, berkata jet Rusia SU-27 Flanker melakukan aksi tidak selamat itu kelmarin berhampiran pesawat P-8A Poseidon milik Tentera Laut Amerika yang sedang melakukan operasi rutin di ruang angkasa antarabangsa.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Mejar Jeneral Igor Konashenkov, pula berkata dalam satu kenyataan kelemarin bahawa pesawat itu Poseidon tidak menghidupkan alat penerima isyarat radio dan ia mendekati sempadan selatan Rusia sebanyak dua kali.

Katanya, jet Rusia dikerah memintas pesawat Amerika dan ‘juruterbang Rusia bertindak selaras dengan peraturan penerbangan antarabangsa.’

Gambar fail bertarikh 12 April 2016 menunjukkan Jet pejuang Rusia Sukhoi Su-24 terbang melintasi kapal pemusnah AS, USS Donald Cook (DDG 75) semasa beroperasi di Lautan Baltic. - AFP
Gambar fail bertarikh 12 April 2016 menunjukkan Jet pejuang Rusia Sukhoi Su-24 terbang melintasi kapal pemusnah AS, USS Donald Cook (DDG 75) semasa beroperasi di Lautan Baltic. – AFP

Jurucakap bagi Pemerintah Amerika Eropah, Kapten Danny Hernandez, berkata Poseidon menghidupkan alat penerima isyarat radio itu sepanjang penerbangan, mengikut undang-undang antarabangsa bagi keselamatan penerbangan.

Menurut Amerika, jet Rusia melakukan empat pintasan terhadap pesawat mereka pada hari terakhir, dan satu yang dianggap tidak selamat berlanjutan selama 19 minit.

Davis berkata, pesawat dan kapal tentera laut Amerika kerap berinteraksi dengan unit Rusia di kawasan itu dan kebanyakan komunikasi adalah selamat dan profesional. – AP