Jetstar Asia raikan penumpang ke 2.5 juta

Jetstar Asia raikan penumpang ke 2.5 juta

SINGAPURA, 9 Julai (Bernama) – Jetstar Asia sedang meraikan penumpangnya yang ke 2.5 juta pada laluan Singapura dan Kuala Lumpur, yang telah menjadi rangkaian laluan yang paling sibuk syarikat penerbangan itu.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata kejayaan itu bertepatan dengan langkah Jetstar Asia yang telah memindahkan operasi ke terminal KLIA2 di Kuala Lumpur pada 8 Julai.

Chan Kim Wah, seorang warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura, telah memenangi baucar penerbangan bernilai RM1,000 selepas menjadi penumpang yang ke 2.5 juta pada laluan Singapura dan Kuala Lumpur.

Jetstar Asia yang memulakan hanya satu perkhidmatan harian pada 2008, kini beroperasi sehingga 30 perkhidmatan mingguan dan sentiasa meningkatkan pengalaman perjalanan untuk ribuan penumpang yang terbang di antara Singapura dan Kuala Lumpur pada setiap tahun.

Sambutan terebut dibuat di Kuala Lumpur, sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Asia, Bara Pasupathi, berkata permintaan bagi laluan itu terus berkembang disebabkan hubungan perniagaan dan budaya yang kukuh di antara kedua-dua negara.

“Pelancong Singapura juga suka melawat Kuala Lumpur dan komitmen kami untuk tambang rendah membolehkan perjalanan dibuat dengan lebih kerap bagi tujuan mesyuarat perniagaan serta kos membeli belah dan makan-makan menjadi lebih murah.

“Pembukaan pusat membeli belah yang terbesar di Asia Tenggara, kurang dua kilometer daripada terminal klia2 akan menjadi tarikan baharu kepada pelancong Singapura untuk melawat Kuala Lumpur dengan lebih kerap,” katanya.

Pusat membeli tersebut merupakan sebahagian daripada pelan induk KLIA Aeropolis, sebuah bandar lapangan terbang Malaysia. Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi, Malaysia Airports, Datuk Azmi Murad, berkata : “Lapangan terbang bukan lagi sekadar tempat transit tetapi merupakan destinasi dalam erti kata mereka sendiri.

“klia2 merupakan destinasi membeli-belah dengan sejumlah 225 kedai runcit dan restoran, hampir 200 kedai terletak di gateway@klia2, sebuah bangunan tambahan kepada terminal tersebut yang bertujuan untuk memenuhi keperluan bukan sahaja kepada pelancong tetapi masyarakat sekitarnya.

“Kami gembira untuk mengalu-alukan Jetstar Asia ke terminal klia2 hari ini.

Mereka telah menyertai syarikat penerbangan yang semakin bertambah dan mengiktiraf klia2 sebagai terminal yang menarik, bertenaga dan mudah terutama dari segi kelancaran sambungan serta kemudahan bertaraf dunia.”