Jihad perniagaan manfaatkan ummah

Jihad perniagaan manfaatkan ummah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Jihad mempunyai makna yang sangat luas dan ia juga diertikan sebagai satu perjuangan dalam usaha untuk menegakkan agama Islam dan untuk mencapai keredaan Allah Subhanahu Wataala.

Manakala itu, jihad dalam perniagaan pula ialah memperjuangkan perniagaan mengikut sunnah Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan menghimpun harta kekayaan dengan memberikan manfaat serta hak kekayaan itu kepada umat Islam yang lain dan bukan hanya untuk diri sendiri.

Salah satu kaedah jihad dalam perniagaan ialah di mana kekayaan setiap individu umat Islam itu diberikan kepada orang yang kurang bernasib baik melalui zakat dan sebagainya, ujar Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan Pengerusi Awqaf Holdings Bhd, Tan Sri Muhammad Ali Hashim semasa ditemui Media Permata.

“Kita sebagai umat Islam sewajarnya menggunakan harta kekayaan ini untuk menegakkan keadilan yang diajar oleh agama Islam,” tambah beliau yang dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam Program Strategi Jihad Bisnes – Waqaf Korporat anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei bersama dengan A&A Management and Training Services.

Menurut beliau lagi, zaman sekarang, rata-rata para peniaga termasuklah umat Islam mengikuti dan mencontohi cara-cara perniagaan sistem Barat di mana sistem ini menunjukkan bahawa kekayaan seseorang itu hanya akan berputar dalam golongan orang yang kaya sahaja dan tidak memberikan hak kekayaan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim semasa menyampaikan ceramahnya.
Tan Sri Muhammad Ali Hashim semasa menyampaikan ceramahnya.
Antara yang menghadiri Program Strategi Jihad Bisnes – Waqaf Korporat kelmarin.
Antara yang menghadiri Program Strategi Jihad Bisnes – Waqaf Korporat kelmarin.

Sehubungan dengan itu, tekan beliau, di sinilah strategi jihad perniagaan digunakan di mana umat Islam diseru untuk memperjuangkan perniagaan mereka mengikut Sunnah Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang berteraskan fahaman harta kekayaan adalah milik Allah Subhanahu Wataala dan telah diamanahkan untuk dimanfaatkan oleh manusia dan bukanlah mengikut cara negara Barat.

Menurut beliau lagi, wakaf korporat pula ialah di mana perniagaan yang besar-besaran bukan saja dimiliki oleh seorang dua dalam masyarakat tetapi oleh wakaf.

Program yang berlangsung di Mangrove Paradise Resort, Jalan Kota Batu itu dihadiri oleh 60 orang peniaga tempatan.

Turut hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei, Dr. Haji Kamaruddin bin DSP Haji Talip, Pengurus Am A&A Management and Training Services, Mejar (B) Hajah Sopiah binti Haji Husaini.

Tan Sri Muhammad Ali juga merupakan seorang penulis buku dan antaranya buku terbitannya ialah ‘Khalifah Ganti Superman’, ‘Bisnes Satu Cabang Jihad’ dan ‘Membujur Lalu.. Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan.’

Manakala itu, buku ‘Strategi Jihad Bisness’ adalah buku terbitan terbaru pada tahun lepas.

Tan Sri Muhammad Ali juga terkenal dengan kegigihannya mengintegrasikan nilai dan prinsip Islam dalam perniagaan dan telah memperkenalkan beberapa konsep yang membawa impak besar.

Beliau juga mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1969 dan menyertai program Eksekutif Kanan di Universiti Standford, Amerika Syarikat pada tahun 1895.

Di samping itu, beliau juga telah dianugerahkan ijazah-ijazah kehormat doktor falsafah dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan pengurusan daripada lapan buah universiti di Malaysia.

Beliau dalam ceramahnya pagi tadi turut mengongsikan pengalaman dalam menjayakan jihad perniagaan ini dan pengalaman tentang wakaf korporat.

ARTIKEL YANG SAMA