‘Jihadi John’ dilaporkan terbunuh

‘Jihadi John’ dilaporkan terbunuh

WASHINGTON, 13 Nov (Reuters) – Seorang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) yang dikenali sebagai ‘Jihadi John’ dilaporkan terbunuh selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan udara di Syria bagi menyasarkan pembunuh kejam itu, lapor BBC.

‘Jihadi John’ dikenali sebagai pembunuh kejam yang memenggal kepala beberapa tebusan Amerika dan Britain dalam beberapa rakaman video sebelum ini.

Seorang pegawai Amerika berkata serangan itu berkemungkinan besar mengorbankan Mohammed Emwazi, atau lebih dikenali Jihadi John, seorang warga Britain, tetapi memberi amaran adalah terlalu awal membuat sebarang kepastian.

Pentagon berkata ia masih menilai keberkesanan serangan di bandar Raqqa, Syria, yang kini menjadi ‘ibu kota’ militan IS.

Jika kematiannya disahkan, ia merupakan titik tolak penting dalam kempen yang diketuai Amerika terhadap kumpulan militan IS dan berlaku lebih setahun selepas Presiden Barack Obama menjanjikan keadilan bagi tebusan Amerika yang dibunuh.

Militan yang memakai pakaian hitam dan bertopeng dikenal pasti oleh akhbar Washington Post sebagai warga Britain bernama Mohammed Emwazi. – Reuters
Militan yang memakai pakaian hitam dan bertopeng dikenal pasti oleh akhbar Washington Post sebagai warga Britain bernama Mohammed Emwazi. – Reuters

IS sebelum ini telah menyiarkan video menunjukkan dua rakyat Amerika dan dua rakyat Britain dipancung oleh militan berpakaian hitam dan menutup muka yang bercakap dengan loghat Inggeris dan digelar oleh media di Britain sebagai ‘Jihadi John’.

Antara tebusan Amerika yang dibunuh ialah mendiang James Foley, Steven Sotloff dan Peter Kassig dan tebusan Britain, David Haines dan Alan Henning, dan tebusan Jepun, Kenji Goto.

Pegawai Amerika berkata operasi bagi menjejak Jihadi John telah dijalankan sejak beberapa hari lalu.

Namun perincian masih belum jelas, termasuk bagaimana Amerika menjejaki Emwazi dan bagaimana mereka menjalankan operasi itu.

CNN dan Washingtong Post, dengan memetik sumber para pegawai, melaporkan bahawa Emwazi menjadi sasaran dron.