Jihan Muse sudah sedia bergelar ibu

Jihan Muse sudah sedia bergelar ibu

KUALA LUMPUR – Pengacara Jihan Muse sudah bersedia untuk bergelar seorang ibu selepas berkahwin dengan pelakon Ungku Hariz Faizal pada Mac lalu.

Jihan atau Nuur Jihan Musa, 33, berkata, antara tujuan berkahwin adalah untuk memiliki cahaya mata namun dalam soal berkenaan dia meletakkan perkara itu sepenuhnya kepada rezeki daripada Allah.

“Apabila saya mengambil keputusan berkahwin bermakna memang saya sudah bersedia untuk memiliki cahaya mata tetapi sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan selebihnya ia adalah terletak kepada rezeki yang ditentukan Allah.

“Insya-Allah jika Allah hendak beri rezeki dalam masa terdekat ini Alhamdulillah,” katanya.

Jihan ditemui pada majlis pratonton telefilem Oh My English!: Road to Jogja yang diadakan di Pavilion.

Jihan dan Ungku Hariz semakin bahagia melayari rumah tangga.
Jihan dan Ungku Hariz semakin bahagia melayari rumah tangga.

Selain Jihan drama dua bahagian itu turut menampilkan Elfira Loy, Randy Pangalila, Johan Raja Lawak, Mark Adam, Roax Tan, Mohd. Zhafir Muzani dan Juzztin.

Ia bakal disiarkan pada 3 Disember (bahagian 1) dan 11 Disember (bahagian 2) pada pukul 9 malam di tiga saluran Astro iaitu TVIQ, Prima dan MAYA HD.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kehidupan berumah tangga, Jihan berkata, dia dan suaminya sangat memahami di antara satu sama lain terutama berkaitan kerjaya masing-masing memandangkan mereka dalam bidang yang sama.

Kata Jihan, walaupun mereka sibuk dengan tugas sebagai anak seni namun sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menghabiskan masa bersama-sama dalam mengeratkan lagi hubungan suami-isteri.

“Alhamdulillah kami melayari rumah tangga dengan aman tanpa sebarang masalah kerana kami sudah kenal cukup lama jadi apabila berkahwin masing-masing saling memahami

“Jadual seni kami memang padat tetapi kami memahami dan jika masing-masing tidak terikat dengan kerja kami akan ambil peluang untuk menghabiskan masa bersama atau pun bercuti.

“Pun begitu pembahagian masa itu penting dalam memastikan kerja dan rumah tangga seimbang,” ujarnya.

Tambah Jihan, selepas tugasnya berakhir sebagai pengacara program Gegar Vaganza 3 (GV3) yang berbaki dua minggu lagi dia akan mengambil cuti sehingga akhir tahun untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga.

Menyentuh mengenai penglibatannya dalam Oh My English!: Road to Jogja, Jihan berkata, dalam telefilem berkenaan dia memainkan tiga peranan sekali gus dan menyifatkan ia mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

ARTIKEL YANG SAMA