JIPK cekup pesalah imigresen

JIPK cekup pesalah imigresen

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Seramai 12 lelaki warganegara asing telahpun dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-Undang kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas Imigresen yang masih sah, dalam Ops CEKUP, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), awal pagi tadi.

Serbuan mengejut pasukan pegawai dari Bahagian Penguat kuasa Undang-Undang Imigresen (BPGN), itu dilakukan ke atas dua buah rumah sewa dan tempat tinggal pekerja yang berasingan di Mukim Berakas A dan Mukim Berakas B.

Setelah tapisan lanjut seramai lapan orang daripada 12 yang ditahan itu, telahpun dibebaskan setelah majikan dan wakil majikan membawa pasport yang mengandungi pas Imigresen yang masih sah ke BPGN.

Menurut kenyataan JIPK, operasi yang diketuai oleh pemangku ketua pegawai imigresen dan melibatkan 33 pegawai penguat kuasa dilaksanakan setelah pemantauan ke atas tempat terbabit hasil daripada maklumat yang terkumpul.

Para pegawai yang bertugas ketika membuat catatan mengenai pesalah imigresen.
Para pegawai yang bertugas ketika membuat catatan mengenai pesalah imigresen.

Sehubungan dengan itu, JIPK dalam kenyataannya sekali lagi mengingatkan para majikan supaya sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja masih sah dan tidak mengambil bekerja warganegara asing yang bukan atas jaminan mereka atau ‘amah pinjam / pemegang pas melawat’ kerana jika sabit kesalahan majikan akan berdepan denda tidak kurang $3,000 bagi setiap pesalah imigresen.

Warga asing di negara ini juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan pas imigresen yang diberikan, serta tidak membuat urusan atau menyerahkan pasport kepada individu-individu yang mengelar diri mereka sebagai ejen yang boleh membuat urusan-urusan pasport kepada agensi yang berkenaan dan setelah itu menghilang tidak diketahui di mana keberadaannya.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888, yang mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA