JIPK heret 104 kes ke mahkamah tahun lepas

JIPK heret 104 kes ke mahkamah tahun lepas

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah menghadapkan 104 kes ke mahkamah dengan 58 warga asing dijatuhkan hukuman sebat, 755 orang dikenakan tindakan kompaun atas pelbagai kesalahan imigresen dengan jumlah kompaun sebanyak $303,300 pada tahun 2015.

Sementara itu, seramai 1,738 orang warga asing telah dipulangkan ke negara asal setelah menjalani hukuman pelbagai kesalahan di bawah pelbagai akta, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JIPK, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pada tahun lalu Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK telah melaksanakan 93 Operasi Cekup JIPK termasuk bersepadu bersama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

Ini tidak termasuk pemeriksaan rutin yang dikendalikan oleh bahagian berkenaan dan Operasi Bersepadu yang dikendalikan oleh agensi penguatkuasaan lain yang melibatkan bahagian berkenaan.

Mengikut statistik dan perangkaan aktiviti di Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK, sebanyak 99 pemeriksaan rutin dan 31 Operasi Bersepadu bersama agensi penguatkuasaan telah dilaksanakan.

Anggota penguat kuasa bertugas mencatatkan kesalahan yang dilakukan pekerja asing.
Anggota penguat kuasa bertugas mencatatkan kesalahan yang dilakukan pekerja asing.

Pada tahun ini, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK menamakan operasi mereka sebagai Operasi KESAN yang bermakna bagi mengesan dan menjejak pesalah imigresen dengan lebih berkesan lagi.

Baru-baru ini, bahagian berkenaan telah menjalankan Operasi KESAN JIPK 01/2016 ke atas dua sasaran projek pembinaan rumah persendirian di Mukim Pengkalan Batu, di mana lapan orang buruh binaan warga asing telah gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang masih sah.

Menurut kenyataan JIPK, kesemua mereka telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK untuk siasatan lanjut.

Sehubungan dengan itu, pihak jabatan mengingatkan kepada majikan supaya tidak mengambil warga asing yang bekerja bukan atas jaminan mereka misalnya mengambil bekerja amah pinjam atau pemegang pas melawat kerana ia merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan pihak majikan akan berdepan dengan tindakan undang-undang iaitu denda tidak kurang daripada $3,000 bagi setiap pesalah imigresen.

Bagi menyokong usaha penguatkuasaan, pihak jabatan mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA