JIPK tambah waktu khidmat

JIPK tambah waktu khidmat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) memaklumkan bahawa Bahagian Dokumen Perjalanan atau dikenali sebagai Bahagian Pasport di Ibu Pejabat Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jalan Menteri Besar, Bandar Seri Begawan dan pejabat cawangan Daerah Belait akan menambah waktu perkhidmatannya pada setiap Jumaat bermula 21 Ogos hingga 11 September mulai jam 8.15 pagi hingga 11.00 pagi.

JIPK dalam satu kenyataan di sini berkata, setiap menjelangnya musim cuti penggal persekolahan terutama pada penghujung tahun, permohonan orang ramai untuk mendapatkan pasport turut meningkat berbanding dengan hari-hari biasa.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk membuat perjalanan ke luar negara dinasihatkan supaya merancang dengan bijak dan lebih awal dalam membaharui dokumen perjalanan, serta memastikan setiap dokumen perjalanan mereka adalah dalam keadaan baik dan teratur serta masih mempunyai tempoh sah laku yang dibenarkan.

Bagi mereka yang akan membuat perjalanan ke luar negara terutama semasa musim cuti sekolah yang melintasi pos-pos kawalan imigresen melalui jalan darat, adalah dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan bijak dan berhemah bagi mengelak perjalanan mereka terperangkap dalam deretan kenderaan yang panjang.

ARTIKEL YANG SAMA