JIS bakal miliki pusat sukan baru

JIS bakal miliki pusat sukan baru

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) pagi tadi telah mengadakan majlis peletakan batu asas bagi pembinaan Pusat Sukan baru sekolah itu.

Hadir menyempurnakan peletakan batu asas itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bandtree Sdn Bhd, Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Pusat Sukan JIS baru itu terletak di lokasi strategik berhampiran Blok V di antara sekolah dan rumah tumpangan JIS bagi memudahkan pelajar dan para penghuni rumah tumpangan berkenaan pergi ke kemudahan tersebut.

Kemudahan tambahan itu dijangka siap pada akhir Januari 2017 dan diharapkan dapat digunakan oleh para pelajar JIS dan masyarakat Brunei.

Menurut Pengetua JIS, Barnaby Sandow, antara kemudahan yang disediakan di pusat sukan itu termasuk dua gelanggang pelbagai guna dalam dewan, trek balapan dalam dewan, kolam renang 25 meter dan bilik set kecergasan.

Awang Abdul Latiff menyempurnakan peletakan batu asas.
Awang Abdul Latiff menyempurnakan peletakan batu asas.
Gambar ilustrasi menunjukkan antara salah sebuah fasiliti terbaru, kolam renang tertutup.
Gambar ilustrasi menunjukkan antara salah sebuah fasiliti terbaru, kolam renang tertutup.

“Sebelum ini, sekolah telah membuang masa 50 hari membatalkan aktiviti sukan bagi menjaga keselamatan pelajar semasa bersukan dalam cuaca buruk. Kini dengan kemudahan terbaru ini, ia membolehkan para pelajar untuk menyertai aktiviti sukan dalam dewan tanpa menghiraukan cuaca buruk,” ujarnya.

Gelanggang tertutup itu nanti membolehkan pelajar untuk mengikuti aktiviti sukan berpasukan seperti badminton, bola jaring, bola tampar, bola sepak lima sepasukan dan pelbagai permainan di dalam dewan.

Selain itu, kolam renang dan bilik set kecergasan yang dibina khas membolehkan pelajar menumpukan latihan mereka untuk kesihatan dan kesejahteraan. Kawasan luar pusat pula dirancang dilengkapi dengan landskap dan kawasan tempat duduk serta tempat pelajar berehat dan belajar.

ARTIKEL YANG SAMA