JIS dedah peluang pengajian ke luar negara

JIS dedah peluang pengajian ke luar negara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) malam tadi mengadakan Acara Tahunan Pengajian Tinggi dalam usaha untuk membimbing dan memberikan bantuan kepada pelajar khususnya bagi Tahun 12 dalam mendapatkan maklumat mengenai kursus-kursus dan kemudahan yang ditawarkan oleh universiti-universiti di luar negara.

Acara tersebut yang berlangsung di Pusat Kesenian JIS disertai oleh wakil-wakil institusi pengajian tinggi dari enam buah negara iaitu United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan juga Negara Brunei Darussalam.

Antara yang hadir ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer dan Pengetua Sekolah JIS, Barnaby Sandow serta Dekan Pengajian Tinggi JIS, Russell Mann.

Barnaby Sandow dalam ucapannya berkata, acara tahunan itu adalah peluang keemasan dalam memberikan gambaran dan maklumat-maklumat penting kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pembelajaran mereka.

Tuan Yang Terutama Craig Allen semasa menghadiri taklimat mengenai pengajian di Amerika Syarikat.
Tuan Yang Terutama Craig Allen semasa menghadiri taklimat mengenai pengajian di Amerika Syarikat.
Antara para pelajar dan ibu bapa yang menghadiri taklimat itu.
Antara para pelajar dan ibu bapa yang menghadiri taklimat itu.

p10-3_20160121

Para pelajar serta ibu bapa mereka semasa berkunjung ke petak pameran.
Para pelajar serta ibu bapa mereka semasa berkunjung ke petak pameran.

Manakala Russell Mann semasa ditemui wartawan Media Permata menjelaskan, tahun ini seramai 183 orang pelajar Tahun 12 dari JIS akan melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, pada tahun lepas, sejumlah 58 peratus pelajar lepasan JIS memilih untuk melanjutkan pengajian mereka ke United Kingdom dan selebihnya melanjutkan pelajaran mereka ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Singapura, Malaysia, Jepun, Korea dan banyak lagi.

“Buat masa ini, kami sangat memfokuskan kepada memaksimumkan potensi setiap pelajar dalam memberikan hasil pembelajaran yang terbaik di mana saja mereka berada mengikut kursus-kursus yang mereka minati.”

Menurut Russell Mann lagi, setiap wakil negara yang menyertai acara itu akan memberikan maklumat dan menyenaraikan mana-mana universiti yang ada di negara mereka serta memberikan para pelajar banyak pilihan untuk pengajian mereka nanti.

Acara dibahagikan kepada dua sesi di mana sebanyak tujuh taklimat secara serentak di tempat yang berasingan telah disampaikan daripada wakil-wakil negara seperti United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Kanada.

Menurut beliau, antara universiti yang telah dipilih oleh pelajar-pelajar pada tahun yang lalu ialah seperti University of Bath, University of Imperial, Oxford University, Cambridge University bagi United Kingdom. Manakala universiti di Amerika Syarikat pula ialah seperti Stanford University, the University of California at Berkeley, Northwestern University and Cornell dan banyak lagi di negara-negara yang lain.

Antara pilihan kursus yang diketengahkan termasuk bidang perubatan, kesihatan, kewangan, IT, pembinaan, komunikasi, rekaan dan seni, rekaan dan teknologi, industri kreatif serta kejuruteraan dan banyak lagi.

Semasa taklimat disampaikan, para pelajar juga diberi peluang untuk mengenal pasti kursus-kursus ditawarkan dan program yang bersesuaian bagi mereka dan mengetahui secara terperinci lagi mengenai dengan kualiti sistem pendidikan di negara luar.

Beberapa kotak pameran juga turut disediakan daripada wakil-wakil negara termasuklah Universiti Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA