JIS hos pementasan drama Shakespeare

JIS hos pementasan drama Shakespeare

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) akan menganjurkan persembahan drama tragedi William Shakespeare bertajuk “Hamlet” oleh Shakespeare’s Globe pada 29 Ogos ini pukul 7:30 malam di Auditorium Pusat Seni JIS.

Produksi jelajah global ini disokong Suruhanjaya Tinggi Britain dan ditaja bersama Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Bank Standard Chartered (SCB).

Dilancarkan pada 23 April 2014, semasa ulang tahun kelahiran ke-450 Shakespeare, jelajah Shakespeare’s Globe itu berlangsung selama dua tahun dengan mengadakan persembahan Hamlet di setiap negara di seluruh negara, dan versi drama ini yang kenali sebagai ‘Globe to Globe Hamlet’ setakat ini telah mengunjungi 119 buah negara, merangkumi lebih 180,000 kilometer, menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Britain di Brunei Darussalam, di sini.

Pengetua JIS, Barnaby Sandow berkata: “Kami berasa gembira untuk menghoskan syarikat teater Shakespeare Globe yang berpangkalan di London berhampiran dengan tempat kebanyakan drama Shakespeare dipersembahkan pada asalnya.

“Saya amat bersyukur dengan tajaan daripada Penerbangan Diraja Brunei dan Bank Standard Chartered. Shakespeare dikaji secara meluas di Brunei; untuk sekolah, kreativiti adalah satu kemahiran pemikiran penting yang boleh digunakan dalam sains, perniagaan dan disiplin lain,” tambah beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Campbell pula berkata karya Shakespeare mempunyai tarikan sejagat dan berkekalan.

“Kami berasa teruja bahawa salah satu drama paling terkenal akan dipersembahkan di Brunei. Produksi Hamlet adalah satu cara yang hebat untuk melancarkan beberapa siri aktiviti yang dirancang oleh United Kingdom dan Suruhanjaya Tinggi Britain dalam tempoh setahun akan datang untuk memperingati ulang tahun ke-400 kematian William Shakespeare pada 2016,” jelasnya.

Tuan Yang Terutama turut menyatakan bahawa acara-acara dan aktiviti program global, Shakespeare Lives, ini membabitkan Majlis British dan Kempen GREAT Britain, dengan kerjasama teater-teater, muzium, pendidikan dan para artis British bagi produksi dan adaptasi baru pelbagai karya Shakespeare daripada drama pentas dan filem hingga buku dan sumber-sumber pendidikan baru.

Acara kemuncak pada tahun depan adalah projek penyertaan beramai-ramai yang akan mempelawa orang dari seluruh dunia untuk memuat naik dan berkongsi klip diri mereka membuat persembahan skrip daripada drama Shakespeare. Ia akan berakhir dengan persembahan besar-besaran yang memecahkan rekod dan karya Shakespeare versi digital baru.

ARTIKEL YANG SAMA