JIS hulur sumbangan

JIS hulur sumbangan

Oleh Pg. Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Seramai 90 anak yatim menerima sumbangan berupa wang tunai dan beg hadiah dari Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong pada satu majlis yang berlangsung di Dewan Mesyuarat, Pusat Seni, JIS, Jerudong petang ini.

Sumbangan disampaikan oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Hajah Noraidah binti Haji Tengah bersama dengan Pengetua JIS, Barny Sandow.

Ini merupakan kali keenam sumbangan tersebut dihulurkan dan setiap tahun mereka yang berumur dari empat hingga 12 tahun menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan persekolahan dan makanan yang disumbangkan oleh ibu bapa dan penjaga Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong dan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Barny Sandow bersama dengan Hajah Noraidah menyampaikan sumbangan derma kepada para penerima.
Barny Sandow bersama dengan Hajah Noraidah menyampaikan sumbangan derma kepada para penerima.

Menurut Hajah Noraidah, ia bertujuan membantu anak-anak yatim yang tersenarai di dalam senarai Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bagi membantu meringankan beban mereka dan memeriahkan lagi kedatangan Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau gembira dapat bekerjasama dengan JIS bagi menjayakan majlis hari ini dan juga sedikit-sebanyak menyumbangkan beg hadiah pada tahun ini.

“Memberi kepada masyarakat adalah sebagai salah satu tanggungjawab JIS, terutama pada bulan penting dalam kalendar Islam. Dengan ini, juga sekolah tersebut menjadi sebahagian daripada ahli komuniti di sini,” kata Barny Sandow.