JIS rangkul kejuaraan dua kategori bola sepak

JIS rangkul kejuaraan dua kategori bola sepak

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 18 Mei – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) menyapu bersih kedua-dua gelaran juara, Kategori B (15 Tahun Ke Bawah) dan Kategori C (16-18 Tahun) dalam Kejohanan Bolasepak Sekolah-Sekolah Menengah/ Maktab-Maktab Kawasan Zon III 2016.

Pada perlawanan akhir Kategori B, JIS menang tipis 1-0 ke atas Sekolah Menengah (SM) Muda Hashim, Tutong, manakala pada final Kategori C, JIS menang bergaya 5-0 ke atas SM Sayyidina Husain, Jerudong.

JIS turut menyapu bersih kesemua ‘Anugerah Individu’ tersedia iaitu Pemain Terbaik Kategori B, Derrick Brown, Penjaring Terbanyak Kategori B, Billy Brooks (2 gol), Pemain Terbaik Kategori C, Zafri Majid dan Penjaring Terbanyak Kategori C, Ryan Moran (7 gol).

Memenangi pingat gangsa Kategori B ialah Ma’had Islam Brunei, sementara SM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di tempat keempat. SM Masin pula merangkul tempat ketiga Kategori C, manakala SM Muda Hashim di kedudukan keempat.

Dua finalis Kategori B, JIS dan SM Muda Hashim bergambar ramai.
Dua finalis Kategori B, JIS dan SM Muda Hashim bergambar ramai.

Hadir menyaksikan perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Penolong Pengarah Institusi Pengajian, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Shamsol bin Haji Omar.

Masing-masing sejumlah sembilan buah sekolah menengah dalam Kawasan Zon III telah menyertai Kategori B dan Kategori C bagi kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan melalui Cawangan Daerah Tutong itu.