JK ditubuh kenalpasti keperluan sekolah di S’wak

JK ditubuh kenalpasti keperluan sekolah di S’wak

KUCHING, 9 Sept – Kementerian Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa (JK) Utiliti bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi di semua sekolah di Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon untuk menyenaraikan semua keperluan bagi menyediakan kemudahan tersebut.

“Anggota jawatankuasa ini terdiri daripada wakil Syarikat Sesco Bhd, Jabatan Kerja Raya (JKR), Telekom serta pihak berkuasa air untuk membantu kita melaksanakan projek utiliti contohnya bekalan elektrik, air dan sebagainya.

“Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh seminggu dua ini dan mereka akan menyenaraikan sekolah yang akan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat isu-isu pembangunan sekolah bersama pegawai Jabatan Pendidikan Sarawak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata sebagai permulaan kira-kira 130 daripada 399 sekolah di Sarawak yang masih menggunakan kemudahan set generator dijangka mendapat bekalan elektrik sepenuhnya sebaik beberapa isu seperti pendawaian diselesaikan.

“Di Sarawak ada 399 sekolah yang masih menggunakan set generator dan kira-kira 130 telah dikenal pasti untuk dibekalkan dengan elektrik.

“Kita akan cuba mempercepatkan proses menukarnya tetapi sebelum itu perlu memastikan kerja pendawaian di sekolah terlibat sudah dibuat. Jawatakuasa Utiliti ini akan memastikan semua keperluan ini dapat disediakan,” katanya.

Kamalanathan berkata mesyuarat itu turut membincangkan beberapa masalah yang dihadapi sektor pendidikan negeri seperti kelewatan beberapa projek pembangunan sekolah.

“Sebagai contoh, sebuah sekolah pendidikan khas di Kuching untuk pelajar OKU penglihatan masih belum siap.
“Saya maklumkan dalam mesyuarat tadi, kementerian telah mengarahkan projek tersebut disiapkan selewat-lewatnya Disember ini,” katanya.

Menjawab soalan mengenai Sekolah Kebangsaan Song dekat Kapit dan Sekolah Menengah Singai dekat Bau yang juga masih belum disiapkan, Kamalanathan berkata JKR telah mengambil alih kedua-dua projek tersebut. – Bernama