JKDM Tawau sahut cabaran kayuh basikal

JKDM Tawau sahut cabaran kayuh basikal

TAWAU, 8 Sept – Warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tawau bakal menyahut cabaran mengadakan Ekspedisi Kayuhan Berbasikal dari Tawau sehingga ke Kota Kinabalu pada tahun depan, kata Ketua JKDM Tawau, Datu Kassim Datu Bangsawan.

Beliau berkata anggota yang akan menyahut cabaran tersebut akan membuat persediaan awal dari segi fizikal dan mental kerana ia bukan sahaja memerlukan semangat yang tinggi, malah ketahanan kedua-dua elemen itu sangat penting.

“Kalau tidak ada halangan kami akan melakukan program kayuhan basikal ini bersama dengan Sahid sehingga ke Kota Kinabalu pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis Pelepasan Ekspedisi Kayuhan Solo oleh anggota JKDM Johor Bahru, Sahid Selamat dari Tawau ke Labuan di Wisma Kastam Tawau, di sini hari ini.

Mengenai program itu, beliau berkata Sahid menunjukkan semangat kental dalam mengharungi cabaran yang diambilnya demi menjayakan keinginan dan impian yang ingin dicapainya.

Semangat seperti itu katanya, perlu wujud dalam diri setiap anggota dalam menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya membabitkan bidang tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Ini satu cabaran kepada kita, bukan calang-calang orang dapat melakukannya, sanggup meninggalkan keluarga dalam ekspedisi yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan diri kerana berdepan dengan keadaan cuaca dan pelbagai halangan lain,” katanya.

Datu Kassim berkata ekspedisi kayuhan berbasikal solo oleh Sahid, 51, itu adalah kali ketiga diadakan selepas beliau melakukan ekspedisi sama dari Tawau hingga ke Kuching dan kemudian dari Kuching ke Johor dan kemudian mengelilingi Semenanjung Malaysia selama 43 hari.

“Ekspedisi kali ini dijangka berakhir 16 September di Kota Kinabalu dengan melalui daerah Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Telupid, Sandakan, Kundasang dan seterusnya ke Labuan menaiki feri melalui Kota Kinabalu sebelum kembali ke Johor dari Kota Kinabalu. – Bernama