JKED kendali lebih 500 kes di pintu masuk sempadan

JKED kendali lebih 500 kes di pintu masuk sempadan

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 8 Nov – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Brunei mengendalikan lebih 500 kes setahun termasuk kes-kes yang melibatkan kesalahan penyeludupan di pintu-pintu masuk sempadan antara Negara Brunei Darussalam dan negara jiran.

Penolong Penguasa Kastam, Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Awang Zulkarnain bin Haji Sulaiman, dalam taklimat di Dewan Muafakat Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Temburong, hari ini, telah menjelaskan kes-kes yang pernah dikendalikan oleh jabatan tersebut, serta senarai barang-barang yang dikenakan cukai, dilarang dan perlu dibuat deklarasi terlebih dahulu sebelum melintasi sempadan.

Semasa menjawab soalan dalam sesi soal jawab, alat rokok elektronik ‘Vape’ juga tersenarai di bawah kawalan Bahagian Kawalan Tembakau dan boleh dirampas oleh pihak berkuasa.

Dalam taklimat itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak mereka juga mempunyai kuasa untuk membuka serta memeriksa barang-barang yang mencurigakan di samping mengeluarkan waran masuk rumah, gudang dan stor untuk mencari, membuka, memeriksa serta merampas jika didapati melakukan kesalahan yang berkaitan dengan peraturan dan undang-undang kastam.

Taklimat anjuran Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Temburong itu turut mendengarkan mengenai akta dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Imigresen, Awang Sahif bin Haji Kamis.

Awang Zulkarnain menyampaikan taklimat di Dewan Muafakat Jabatan-jabatan Kerajaan Daerah Temburong kelmarin.
Awang Zulkarnain menyampaikan taklimat di Dewan Muafakat Jabatan-jabatan Kerajaan Daerah Temburong kelmarin.

Lebih 70 orang ahli Biro Keselamatan mewakili majlis-majlis perundingan kampung (MPK) di Dearah Temburong termasuk penghulu dan ketua-ketua kampung selaku pengerusi MPK itu dianjurkan oleh Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Temburong.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, para pegawai kanan dari JKED, JIPK, Institusi Mukim dan Kampung serta Unit Perhubungan Awam, Jabatan Daerah Temburong.

Taklimat ini diadakan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang isu-isu keselamatan yang berkaitan dengan penguatkuasaan sempadan, yang diharapkan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran khususnya ahli-ahli Biro Keselamatan, MPK di daerah ini, mengenai isu keselamatan yang melibatkan peraturan dan undang-undang kedua-dua jabatan tersebut dan sangat berguna untuk dikongsi dan disebarkan kepada penduduk kampung yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA