JKN adakan Eksesais Keselamatan Berskala Kecil

JKN adakan Eksesais Keselamatan Berskala Kecil

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN) sedang mengadakan eksesais keselamatan bermula hari ini hingga 27 November ini.

Eksesais yang dikendalikan oleh Pusat Krisis Kebangsaan (NCC) itu bertujuan melatih dan meningkatkan keupayaan agensi-agensi kerajaan yang terlibat terutama sekali dalam menghadapi dan menangani insiden keselamatan.

Eksesais tersebut melibatkan agensi-agensi kerajaan yang bertugas secara bersepadu di Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah termasuk kawasan-kawasan sekelilingnya dan juga yang berhampiran. Dalam pada itu, para pengunjung dan pengguna yang melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah serta orang awam yang tinggal berdekatan dinasihatkan supaya tidak berasa cemas semasa eksesais tersebut diadakan.

Orang ramai juga disarankan untuk mematuhi arahan agensi-agensi yang terlibat dan menghindari dari kawasan di mana eksesais itu sedang dijalankan.

Mereka juga diingatkan supaya tidak mengambil dan menyebarkan sebarang gambar ataupun video berkaitan dengan eksesais tersebut kerana ia dikhuatiri boleh menimbulkan keadaan cemas di kalangan orang awam.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai eksesais ini, orang ramai boleh menghubungi Urusetia NCC di talian 2220745 sambungan 1374 atau 2381061.

ARTIKEL YANG SAMA