JKN laksana EPK

JKN laksana EPK

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Bermula hari ini (5 Oktober) hingga 7 Oktober, Negara Brunei Darussalam melaksanakan Eksesais Kebangsaan yang diberi nama Eksesais Perisai Kebangsaan (EPK) 04/2015.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, Eksesais Kebangsaan kali ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN) dengan objektif utamanya adalah untuk menguji keupayaan negara secara keseluruhannya dalam menghadapi dan menangani krisis keselamatan serta cabarannya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan gambar-gambar yang berkaitan dengan eksesais berkenaan yang boleh menimbulkan keadaan cemas kepada orang ramai.

Juga diingatkan bahawa perbuatan menyebarkan maklumat palsu kepada orang awam merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam mengikut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda $3,000, jika sabit kesalahan.

Eksesais ini akan melibatkan kawasan-kawasan perumahan dan komersil serta jalan-jalan raya utama di beberapa buah tempat di negara ini terutama sekali di kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan itu, orang awam yang tinggal berdekatan dengan kawasan-kawasan eksesais dinasihatkan agar tidak berasa cemas dengan pergerakan anggota keselamatan atau pasukan beruniform termasuk konvoi kenderaan darat, pesawat udara dan pengangkutan laut serta bunyi bahan-bahan letupan dan piroteknik yang akan digunakan semasa latihan.

Orang awam dinasihatkan untuk menghindari daripada memasuki kawasan di mana eksesais sedang dijalankan.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, orang awam bolehlah menghubungi Pejabat Urus Setia EPK 04/2015 di talian 2775390 atau 8748145.

ARTIKEL YANG SAMA