JKR nafi paip air Kg Layong pecah

JKR nafi paip air Kg Layong pecah

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, hari ini menjelaskan bahawa berita yang disebarkan melalui media sosial kononnya paip air di Kampung Layong pecah dan dimasuki minyak, adalah tidak benar.

JKR dalam kenyataannya di sini hari ini, turut menekankan bahawa pihak jabatan sama sekali tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak terus mempercayai berita berkenaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

JKR juga mengingatkan bahawa menyebarkan sebarang maklumat yang tidak benar merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.

Menurut Seksyen 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 iaitu sesiapa yang sama ada, menggunakan lisan atau tulisan, atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda $3,000.

Awas SMS guna nama Power Root

Sementara itu, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan kepada orang ramai agar berhati-hati apabila menerima pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon dari luar negeri mengenai penipuan yang melibatkan penyalahgunaan nama syarikat pihak Power Root. AMBD berkata, pesanan ringkas atau panggilan tersebut akan memaklumkan bahawa hadiah wang tunai telah dimenangi, dan orang-orang kenamaan akan disebutkan untuk memperoleh kepercayaan dan bagi proses pengeluaran hadiah tersebut. Penglibatan orang-orang kenamaan adalah tidak benar dan orang ramai dinasihati untuk berhati-hati apabila menerima pesanan ringkas atau panggilan yang palsu terutamanya yang melibatkan nama-nama syarikat termasuk syarikat minuman Power Root.

Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh pergi terus ke AMBD ataupun menghubungi pihak AMBD melalui AMBD App yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android atau di talian 2388388.

ARTIKEL YANG SAMA