JKR Sabah perlu penjawat awam tambahan

KOTA KINABALU, 5 Dis – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memerlukan pertambahan penjawat awam bagi mencapai hasrat kerajaan membangunkan infrastruktur di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hari ini.

Katanya, selain melaksanakan projek mega seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, jabatan itu juga telah mengambil alih aset awam seperti jalan-jalan di bawah majlis daerah dan pembetungan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dengan bertambahnya tanggungjawab ini, saya berpendapat adalah amat penting untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan organisasi ini.

Tidak dinafikan bahawa pertambahan anggota di pejabat adalah amat diperlukan dalam soal pentadbiran, kepakaran dan sokongan teknologi, tetapi disiplin dan kerajinan individu juga adalah penentu kepada keberkesanan jabatan,” katanya pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabah di sini hari ini.

Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah, berkata pihaknya akan memohon kepada kerajaan negeri untuk menambah kekuatan kakitangan agar tugas dan tanggungjawab jabatan itu dilaksanakan dengan lebih efisien.

Terdahulu, Pengarah JKR Negeri Datuk Amrullah Kamal berkata jabatan itu perlu bekerja lebih keras dan sentiasa kreatif dan inovatif dalam memenuhi tuntutan kerja yang semakin bertambah, termasuk kepercayaan kerajaan pusat untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) setakat ini, 365 projek dikendalikan oleh JKR Sabah, yang mana 69 peratus adalah projek Persekutuan, manakala selebihnya projek biayaan negeri. – Bernama