Jobi McAnuff selamatkan Jamaica

Jobi McAnuff selamatkan Jamaica

LOS ANGELES, 10 Julai (AFP) – Penyerang berpangkalan di England, Jobi McAnuff menjaringkan gol individu menakjubkan untuk membantu Jamaica mencatat keputusan mengejut seri 2-2 dengan Costa Rica pada Piala Emas CONCACAF, semalam.

McAnuff, yang beraksi dengan kelab liga bawahan Inggeris, Leyton Orient, menggelecek beberapa pertahanan Costa Rica untuk meledak gol penyamaan pada minit ke-48 di StubHub Center.

Keputusan Kumpulan B itu mengecewakan Costa Rica, pasukan terbaik CONCACAF dalam ranking dunia FIFA di tangga ke-14.

Pada satu lagi perlawanan semalam, Kanada dan El Salvador seri 0-0 menyaksikan semua empat pasukan dalam Kumpulan B meraih satu mata selepas satu perlawanan.

Los Ticos, antara pasukan yang melakar kejutan pada Piala Dunia tahun lalu selepas menewaskan Itali dan Uruguay dalam laluan ke suku akhir, ketinggalan awal apabila Jamaica mendahului menerusi Garath McCleary pada minit ke-13.

Bryan Ruiz (10) dari Costa Rica bersaing mengejar bola dengan Joel McAnuff dari Jamaica dalam aksi Piala Emas di StubHub Center, Los Angeles, semalam. – AFP
Bryan Ruiz (10) dari Costa Rica bersaing mengejar bola dengan Joel McAnuff dari Jamaica dalam aksi Piala Emas di StubHub Center, Los Angeles, semalam. – AFP

Bagaimanapun, negara Amerika Tengah itu mendahului pula menerusi gol Roy Miller dan David Ramirez.

Ramirez membantu Costa Rica mendahului 2-1 pada minit ke-37 apabila dia meluru dan melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Jamaica, Dwayne Miller.

Golnya hadir empat minit selepas Miller menanduk masuk sepakan percuma bagi memadamkan jaringan pembukaan McCleary.

ARTIKEL YANG SAMA