Jodoh Inzaghi, Milan berakhir

Jodoh Inzaghi, Milan berakhir

ROM, 21 Mei – Silvio Berlusconi telah mengesahkan bahawa jurulatih AC Milan Filippo Inzaghi akan dipecat selepas musim yang mengecewakan, media Itali melaporkan kelmarin.

“Inzaghi mempunyai hubungan yang baik dengan skuad tetapi dalam banyak keadaan kami mempunyai visi berbeza (tentang apa yang perlu dilakukan),” pemilik jutawan kelab itu dipetik sebagai berkata semasa melawat kumpulan penyokong pada petang Isnin.

“Itu adalah sesuatu yang kita akan tekankan (kepada Inzaghi) pada masa yang sesuai. Kami memutuskan apa yang perlu dilakukan.”

Hartawan media itu menunjukkan dia sudah mempertimbangkan pengganti tetapi menafikan kemungkinan kepulangan semula bekas pengurus Carlo Ancelotti dengan berkata: “Kita perlu bercakap tentang nama-nama yang konkrit”.

Ancelotti, yang membimbing Milan untuk kejayaan Liga Juara-Juara pada 2003 dan 2007, dijangka meninggalkan Real Madrid pada akhir musim ini dengan kelab gergasi Sepanyol itu bersedia untuk menamatkan kempen tanpa trofi utama.

Filippo Inzaghi akan dipecat dari AC Milan selepas musim yang mengecewakan. – Reuters
Filippo Inzaghi akan dipecat dari AC Milan selepas musim yang mengecewakan. – Reuters

Tetapi rekod masa lalu bermakna dia mungkin mempunyai pilihan yang lebih menarik berbanding kembali kepada Milan yang kekurangan wang.

Bekas bos Itali dan Juventus, Antonio Conte boleh menjadi sasaran yang lebih realistik untuk Milan. “Cuba kita lihat ini bukanlah tempat untuk bercakap tentang perkara itu,” Berlusconi berkata ketika ditanya mengenai pilihan itu.

Berlusconi yang sedang mencari pelabur luar untuk membantunya memulihkan nasib kelab berkata, Inzaghi telah mengabaikan permintaannya untuk memberi peluang kepada pemain baru muncul dari akademi kelab itu.

“Ada beberapa orang anak muda yang menarik di kelab itu dan saya menyatakan hasrat untuk melihat beberapa daripada mereka diberi peluang dalam pasukan pertama tetapi permintaan itu tidak diendahkan,” kata Berlusconi. – AFP