Joe Hart: England tetap pasukan hebat

Joe Hart: England tetap pasukan hebat

CHANTILLY, Perancis, 22 Jun (AFP) – Penjaga gol England, Joe Hart tampil mempertahankan pasukannya untuk membuktikan kritikan pedas yang dilemparkan ke atas pasukannya ketika hanya terikat tanpa jaringan dengan Slovakia adalah silap.

Hart mengakui ‘ketegangan’ terbabit berpunca daripada keputusan seri kedua berturut-turut dikutip England yang menyaksikan pasukan itu perlu bertemu juara Kumpulan F – sama ada Iceland, Portugal, Hungary atau Austria – bagi pusingan 16 terakhir di Nice, Isnin depan.

The Three Lions tiba ke Kejohanan Eropah sebagai pasukan pilihan selepas memenangi ke semua 10 perlawanan kempen kelayakan.

Namun sekadar menamatkan saingan Kumpulan B di belakang Wales, malah anak-anak buah Roy Hodgson dikritik hebat di tanah air sendiri berikutan kegagalan mereka menyudahkan 29 peluang yang terhidang sepanjang terikat tanpa jaringan dengan Slovakia, Isnin lalu.

Justeru, Hart meminta rakan sepasukannya untuk membuktikan ketajaman pasukan dan memberi tumpuan dalam melayakkan diri ke suku akhir.

Joe Hart ketika beraksi dalam perlawanan England menentang Slovakia. – AFP
Joe Hart ketika beraksi dalam perlawanan England menentang Slovakia. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Ia pasti menimbulkan ketegangan dan media tetap akan terus menulis walau apapun keputusannya, jadi kami perlu kekal fokus,” kata penjaga gol Manchester City berusia 29 tahun itu. “Kami mempunyai tugasan yang perlu diselesaikan dan ia sangat penting bagi kami.

“Persoalan itu dibangkitkan pihak luar bukannya dari dalam pasukan kami sendiri. Kami sangat yakin dengan apa yang kami dapat sepanjang aksi kumpulan.

“Kami sentiasa bersatu, bersama-sama kami akan cuba mara sejauh mungkin.”

Berikutan diikat Slovakia, beberapa akhbar British melabelkan skuad Hodgson sebagai ‘kelas kedua’ dan ‘Singa Tanpa Taring’ kerana ketandusan penyudah setakat ini. Hart juga dicemuh di dalam media sosial selepas setiap persembahannya di Perancis dianggap gagal mencapai tahap memuaskan.

Antara kuat diperkatakan mengenai kegagalannya menyelamatkan gol tandukan kapten Vasili Berezutski pada minit ke-92 ketika terikat 1-1 dengan Russia dalam aksi pembukaan.

Lebih memburukkan keadaan dia seperti hilang kata-kata ketika melihat jaringan sepakan percuma Gareth Bale yang menewaskannya semasa England menundukkan Wales 2-1.

ARTIKEL YANG SAMA