Johan Cruyff: Terima kasih semua

Johan Cruyff: Terima kasih semua

AMSTERDAM, 27 Okt (AFP) – Johan Cruyff berkata, sokongan yang mencurah-curah sejak beliau disahkan mengidap kanser paru-paru menyebabkannya begitu emosi dan terharu tetapi kebocoran berita itu mengecewakannya.

“Saya berbangga dengan penghargaan daripada semua pihak selepas berita itu tersebar,” pemain bola sepak yang paling terkenal di Belanda itu menulis dalam kolum akhbar mingguannya semalam.

Beliau memetik tepukan yang dirancang untuk beliau pada minit ke-14 perlawanan di seluruh liga Belanda hujung minggu ini dan di kelab lamanya, Barcelona pula, para pemain memakai baju-T khas ‘Anims Johan’ (moga Johan cepat sembuh) menjelang perlawanan liga menentang Eibar Ahad lalu.

Cruyff terkenal dengan jersi No.14 sepanjang kerjayanya yang berwarna-warni bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, ​​Feyenoord dan pasukan kebangsaan Belanda.

Media Sepanyol mengeluarkan berita tergempar keadaan pemain berusia 68 tahun itu Khamis lalu, tidak lama selepas dia menemui doktor di Barcelona, ​​di mana dia tinggal. Beliau terpaksa mengesahkan diagnosis beberapa jam kemudian.

Pemain Barcelona, Neymar (kanan) dan Luis Suarez memakai baju-T ‘Anims Johan’ semasa menentang Eibar di stadium Camp Nou kelmarin. - AFP
Pemain Barcelona, Neymar (kanan) dan Luis Suarez memakai baju-T ‘Anims Johan’ semasa menentang Eibar di stadium Camp Nou kelmarin. – AFP

“Sekarang menunggu pula,” tulis beliau mengenai langkah seterusnya dalam memerangi penyakit itu. “Ia benar-benar mengecewakan bila berita ini bocor kerana satu-satunya perkara yang saya tahu sekarang ialah saya mengidap kanser paru-paru. Itu saja.”

Cruyf, seorang bekas perokok yang menjalani pembedahan jantung pada 1991, muncul sebagai salah seorang pemain terhebat di dunia pada awal 1970-an apabila membantu Ajax Amsterdam memenangi tiga Piala Eropah berturut-turut dari 1971-73 dan juga dinamakan sebagai Pemain Terbaik Eropah pada 1971, 1973 dan 1974.

Beliau menyertai Barcelona dengan rekod bayaran perpindahan dunia sebanyak AS$2juta, dan Barcelona pula menentukan kerjaya kejurulatihannya apabila membantu kelab Catalan itu memenangi La Liga pertama dalam tempoh hampir 15 tahun pada 1974.

Beliau juga merupakan pemain utama dalam pasukan Belanda yang hebat dan layak ke final Piala Dunia 1974. Pada masa itulah dunia menyaksikan pergerakan terkenal ‘pusingan Cruyff’ di mana pemain membawa bola di belakang kaki sebelum membelok jauh daripada arah bola.

ARTIKEL YANG SAMA