Johari, Almas juara Golf Amatur

Johari, Almas juara Golf Amatur

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Awang Johari bin Haji Ahmad dan Dayang Almas Syadzwanie binti Kamis tampil juara keseluruhan di dalam Kejohanan Golf Amatur Terbuka Antarabangsa sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.

Hadir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Awang Johari diberikan cabaran hebat oleh pasangan adik beradik Mohd Qazri dan Mohd Qayim bin Haji Aslimon yang tampil di tempat kedua dan ketiga kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri di Mukim Kota Batu di sini.

Awang Johari ketika ditemui selepas majlis tersebut menegaskan beliau sudah tujuh tahun tidak turun ke padang golf di Pantai Mentiri dan penampilkan kali ini adalah sangat istimewa baginya kerana berjaya menjulang piala yang sememangnya mencabar.

“Saya sangat bersyukur atas rezeki kemenangan ini kerana pada saya cabaran terbesar saya adalah pemain muda seperti adik beradik Mohd Qazri dan Mohd Qayyum, dan tidak menyangka akan mampu menang dalam kejohanan kali ini,” ujarnya.

ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyampaikan hadiah kepada Awang Johari dan Dayang Almas.
ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyampaikan hadiah kepada Awang Johari dan Dayang Almas.

Apabila ditanya mengenai pandangan beliau kepada sukan golf dalam kalangan anak muda, beliau berkata, ia sangat menggalakkan dengan penampilan banyak pemain dan muka baru dalam sukan ini.

“Namun pada saya pihak yang berkenaan perlu mengambil langkah proaktif untuk mendedahkan barisan pemain muda dalam penyertaan serantau dan antarabangsa bagi tujuan kemajuan sukan golf negara,” ujarnya lagi.

Sementara juara Divisyen A pula dimenangi oleh Pengiran Haji Ahmad Zaki bin Pengiran Haji Jambol pula meninggalkan Madan Kumar Gurung yang berada di tempat kedua dan tempat ketiga di sandang Awang Khairul bin Haji Jamaluddin.

Divisyen B pula, Chen Min Wei diumumkan sebagai juara diikuti oleh pencabar terdekatnya Ahanapiah bin Haji Mohd Noor dan Haji Nordin bin Ahmad di tempat kedua dan ketiga.

Awang Abdul Haadi bin Sibah pula berpuasa hati berada di tempat pertama Divisyen C dengan menewaskan Awang Rosli bin Haji Abang Morshidi yang berada di tempat kedua sementara berada di tempat ketiga ialah Awang Rozaino bin Haji Sarbini.

Sementara Dayang Almas Syazwani pula menegaskan rasa bersyukur kerana setakat ini (2016) tiga acara besar yang disertainya dilimpahkan kurnia kejayaan meskipun hanya dua kali menjuarai kejohanan namun berada di kedudukan tiga teratas adalah pencapaian yang menggalakkan bagi dirinya.

“Saya akan menyertai satu lagi kejohanan November ini nanti dan berharap akan meraih kejayaan bagi menutup penyertaan golf pada tahun 2016 ini dan saya ber terima kasih kepada ibu bapa serta keluarga dan rakan serta semua yang sentiasa mendorong saya,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA