Johnson buru kejayaan besar kedua pada 2015

Johnson buru kejayaan besar kedua pada 2015

KOHLER, AS, 14 Ogos (AFP) – Zach Johnson menanti selama lapan tahun untuk mendapat kemenangan pertamanya dalam kejohanan utama, dan kejayaannya dalam Terbuka British bulan lalu telah meningkatkan lagi te­kadnya untuk menambah gelaran.

“Apabila anda menang satu, anda mahukan satu lagi. Apabila anda dapat dua, saya berani kata, anda tetap mahukan satu lagi,” kata Johnson mengenai hadiah terbesar dalam golf.

Johnson, yang meraih kejayaan terbesar pertamanya apabila menjuarai Masters pada 2007, muncul pemenang da­lam pertarungan sengit playoff empat lubang menentang pemain dari Afrika Selatan, Louis Oosthuizen dan Marc Leishman dari Australia di St. Andrews untuk meraih gelaran keduanya dalam kejohanan utama.

Pemain dari Amerika Syarikat (AS) berusia 39 tahun itu tidak menjadi tumpuan utama dalam kedua-dua kejohanan itu, tetapi dia pastinya antara yang akan diberikan perhatian apabila Kejohanan PGA ke-97 bermula hari ini di Whistling Straits.

(Dari kiri) Jordan Spieth, Rory McIlroy dan Zach Johnson selepas membuat pukulan ketiga pada pusingan pertama Kejohanan PGA di Whistling semalam. – AFP
(Dari kiri) Jordan Spieth, Rory McIlroy dan Zach Johnson selepas membuat pukulan ketiga pada pusingan pertama Kejohanan PGA di Whistling semalam. – AFP

Beliau akan dipasangkan untuk pusingan pertama dan kedua dengan pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Rory McIlroy dan Jordan Spieth, juara Masters dan Terbuka AS tahun ini.

Johnson berkata dia tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada “kumpulan super” itu dan tidak bimbang dengan tumpuan daripada peminat.

“Saya pernah melaluinya sebelum ini,” kata Johnson, merujuk kepada dua pusingan pertama yang dia main dalam Piala Barclays 2012 bersama Tiger Woods dan McIlroy.

“Peminat Tiger sungguh ramai dan sangat bising. Untuk saya, lebih ramai lebih meriah,” tambah Johnson.