Johnson dipecat

Johnson dipecat

LONDON, 12 Feb – Sunderland memecat Adam Johnson sebentar tadi selepas bekas pemain sayap England itu mengaku salah atas satu pertuduhan terbabit melakukan aktiviti kurang bermoral bersama seorang gadis berusia 15 tahun.

Johnson, 28, dijangka hadir perbicaraan di mahkamah Bradford, di utara England hari ini atas kesalahan yang pada awalnya dinafikannya.

“Selepas Adam Johnson membuat pengakuan bersalah, kami terpaksa membatalkan kontraknya serta merta. Kelab ini tidak akan membuat komen susulan,’’ kata kenyataan kelab berkenaan yang turut dimuat naik ke dalam laman sosial.

Johnson mengaku bersalah terhadap tuduhan mencabul seorang kanak-kanak. Bagaimanapun pemain sayap berusia 28 tahun itu tidak mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan lain ketika mahkamah bersidang di Bradford pada Rabu.

Terdahulu, Pengurus Sunderland, Sam Allardyce mengesahkan Johnson, yang dibayar gaji sebanyak 60,000 pound seminggu tidak akan diturunkan pada perlawanan menentang Manchester United di Stadium of Light, esok.

Ketika perbicaraan, teman wanita Johnson, Stacey Flounders turut hadir di mahkamah.

Ketika ditanya mengenai masa depan Johnson dalam sidang media terdahulu pada Khamis, Pengurus Sunderland, Sam Allardyce berkata, ”Johnson tidak akan menyertai pasukan ketika perlawanan menentang Manchester United hujung minggu ini.”

Kes Johnson dijangka mengambil masa selama dua minggu. Terdahulu pada Khamis, Johnson turut kehilangan penajanya, Adidas yang membatalkan kontrak tajaan terhadap pemain tersebut.

Johnson memulakan karier bola sepaknya di Middlesbrough sebelum berhijrah ke Manchester City pada 2012.

Dia kemudiannya menyarung jersi Sunderland dengan nilai perpindahan sebanyak 10 juta pound pada musim panas 2012. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA