Johnson idam gelaran Masters

Johnson idam gelaran Masters

AUGUSTA, Amerika Syarikat, 5 April (AFP) – Juara bertahan Terbuka British, Zach Johnson, yang juga juara Masters 2007, berhasrat untuk membawa dua trofi ikon pada minggu ini, Claret Jug dan jaket hijau kejuaraan Masters.

Pemain berumur 40 tahun dari Amerika Syarikat yang memenangi gelaran major keduanya pada tahun lalu di St Andrews, menewaskan pemain Australia, Marc Leishman dan pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen dalam perlawanan penentuan untuk hadiah Claret Jug.

Kemenangan pertamanya adalah pada sembilan tahun lalu apabila dia memenangi Masters dengan mendahului dua pukulan di depan juara 14 kali major, Tiger Woods dan pemain Afrika Selatan, Rory Sabbatini dan Retief Goosen.

Johnson akan menyimpan trofi itu sehingga dia kembali ke Royal and Ancient pada Julai ini sementara jaket hijau pula, selepas setahun disimpan juaranya perlu dipulangkan ke Augusta National.

Zach Johnson berhasrat untuk membawa Claret Jug dan jaket hijau kejuaraan Masters. – Reuters
Zach Johnson berhasrat untuk membawa Claret Jug dan jaket hijau kejuaraan Masters. – Reuters

Jadi minggu ini adalah peluang untuk Johnson memperoleh kembali kedua-duanya dalam saat yang jarang berlaku – memenangi kejuaraan Masters dan memakai jaket hijau dan ‘minum’ daripada Claret Jug.

“Ia berkemungkinan perkara yang jarang berlaku,” kata Johnson. “Saya tidak tahu sejarah itu tetapi saya rasa ia jarang berlaku. Saya pasti Tiger melakukannya, anda tahu 12 kali atau lebih kurang.

“Anda bercakap mengenai dua kejohanan terbesar, simbol ikon dalam sukan ini. Untuk memberi penghormatan memakai jaket hijau dan minum daripada Claret Jug adalah sesuatu yang istimewa.”