Johor akan tubuh jawatankuasa khas Bank of Johor

Johor akan tubuh jawatankuasa khas Bank of Johor

ISKANDAR PUTERI, 24 April – Kerajaan negeri Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperhalusi pelan cadangan penubuhan Bank of Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri, dalam masa yang sama turut bercadang mendapatkan nasihat Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu melantik konsultan dan pihak yang mempunyai kepakaran dalam usaha penubuhan bank tersebut. “Kerajaan negeri berasa bertuah kerana Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berpandangan jauh dan sentiasa memikirkan masa depan negeri serta rakyat.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan memperhalusi secara serius titah Sultan Johor yang mengusulkan penubuhan Bank of Johor,” katanya pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri Johor perlu mengambil kira pelbagai faktor dalam meneliti cadangan penubuhan bank tersebut termasuk matlamat dan keberkesanan sesuatu model yang ingin digunakan, daya saing dan sumber kepakaran yang diperlukan serta kemampuan memenuhi syarat dan peraturan ketat yang ditetapkan BNM dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bersikap terbuka dalam melihat model dan struktur terbaik untuk digunakan termasuk mempertimbangkan pelbagai konsep sama ada sebagai sebuah bank pembangunan, bank perdagangan, bank komuniti, bank Islam atau bank koperasi. – Bernama

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (duduk kiri) menaiki Bas Muafakat Johor selepas perasmiannya di Majlis Bandaraya Johor Baharu, pada Jumaat lalu. – Bernama
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (duduk kiri) menaiki Bas Muafakat Johor selepas perasmiannya di Majlis Bandaraya Johor Baharu, pada Jumaat lalu. – Bernama