Johor sasar lebih ramai pengunjung ASEAN

Johor sasar lebih ramai pengunjung ASEAN

JOHOR BAHARU, 28 Jun (Bernama) – Johor menyasarkan lebih ramai pelancong asing dari Asean berkunjung ke negeri ini melalui misi jualan perniagaan ke perniagaan (B2B) antarabangsa ke beberapa negara tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata promosi berbentuk B2B dilihat memberi impak lebih baik.

“Kita boleh membuat padanan di antara agensi-agensi pelancongan di kedua-dua destinasi. Kita akan membuat misi mempromosikan pelancongan Johor di Ho Chi Minh dan Indonesia tahun ini,” kata beliau kepada pemberita di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew 5, di sini hari ini.

Tee berkata pada Januari lepas, misi jualan B2B antarabangsa pertama kali diadakan di Myanmar sempena Asean Travel Forum.

Beliau berkata selain mempunyai destinasi yang menarik untuk dikunjungi, laluan penerbangan yang menyambungkan terus Senai ke destinasi antarabangsa juga menjadi faktor penarik bagi pengunjung datang ke Johor.

Selain Ho Chi Minh, lima bandar utama di Indonesia seperti Jakarta, Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Lombok mempunyai penerbangan terus dari Senai, kata beliau.

Pada tahun 2014, jumlah pelawat asing yang melawat negeri ini lebih kurang 20.979 juta orang dengan 80 peratus terdiri daripada warga Singapura.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Pelancongan Negeri Johor akan mengadakan Explore Johor Sabah pada 3 hingga 5 Julai ini bersempena Matta Fair Sabah yang akan diadakan di Suria Shopping Mall, Kota Kinabalu.

Ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri dalam menggalakkan misi jualan B2B peringkat domestik, kata beliau.

Terdahulu, Tee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang, menyampaikan sumbangan pendidikan berjumlah RM286,800 kepada 478 pelajar dari beberapa sekolah jenis kebangsaan Cina sekitar bandar raya ini.

Sebelum itu, beliau bertemu Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura Tan Chuan Jin berserta 1,600 warga Singapura yang berada dalam rangka lawatan sehari ke Johor.