Johor tingkat misi tarik pelancong China

Johor tingkat misi tarik pelancong China

pg18_151130_a

NUSAJAYA, 29 Nov (Bernama) – Kerajaan negeri Johor akan menggiatkan misi galakan pelancongannya ke China tahun depan dalam usaha menambah kedatangan pelancong dari negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata ia sejajar dengan peningkatan kemasukan pelancong China ke negeri ini sebanyak 28.4 peratus, tahun ini.

“Delegasi misi galakan pelancongan ini disertai agensi pelancongan Johor. Kerajaan negeri mengaturkan satu sesi perjumpaan mereka dengan beberapa agensi pelancongan China bagi tujuan padanan perniagaan yang membawa impak kemasukan pelancong negara itu ke sini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Norshida Ibrahim (BN-Buloh Kasap) mengenai strategi kerajaan negeri Johor tahun depan bagi meningkatkan kedatangan pelancongan China, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Menurut Tee, program itu termasuk menyertai ekspo perniagaan dan pelancongan di beberapa lokasi utama seperti Beijing, Guangzhou dan Hong Kong.

Peringkat kedua misi berkenaan turut dirancang melibatkan bandar lain China yang mempunyai lapan hingga 20 juta penduduk.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Johor juga sentiasa menambahbaik aktiviti penggalakan pelancong dari China ke negeri ini menerusi program pengenalan produk ikonik serta lawatan pengamal media dan agensi pelancongan utama China.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, kemasukan pelancong dari China mencatat seramai 677,549 orang berbanding 527,685 orang bagi tempoh sama tahun lepas. Kerajaan negeri akan terus berusaha menjadikan Johor destinasi menarik dan bernilai tinggi untuk dikunjungi,” katanya.