Joker calon ‘Golden Slam’

Joker calon ‘Golden Slam’

MELBOURNE, 14 Jan (AFP) – Persembahan Novak Djokovic semakin memukau menjelang Terbuka Australia, mencetuskan masalah buat pencabarnya dan meningkatkan harapan muncul pemain lelaki pertama merebut “Golden Slam.”

Meneruskan aksi gemilang 2015, Djokovic membelasah Rafael Nadal pada final Terbuka Qatar minggu lalu, dengan persembahan yang dianggap bintang Sepanyol itu sebagai “terlalu mengagumkan.”

“Saya bermain menentang seorang pemain yang melakukan semuanya sempurna. Saya tahu tiada siapa pernah bermain tenis sebegini,” ujar pemenang 14 gelaran Grand Slam itu.

Tiada seorang pun pemain lelaki dan hanya Steffi Graf dalam kategori wanita, pernah meraih “Golden Slam” dengan memenangi semua empat kejuaraan utama dan pingat emas perseorangan lelaki Olimpik pada tahun sama.

Musim lalu Djokovic terlepas hanya satu kejuaraan bagi merebut Grand Slam pada tahun sama sejak Rod Laver pada 1969, selepas tewas pada final Terbuka Perancis di tangan Stanislas Wawrinka.

Djokovic ketika menjuarai Terbuka Qatar, 9 Januari lalu. – Reuters
Djokovic ketika menjuarai Terbuka Qatar, 9 Januari lalu. – Reuters

Menyedari prestasi hebatnya, pemain berusia 28 tahun itu berkata: “Saya harap dapat memuncak dan bermain sebagus ini di Melbourne.”

Satu persembahan mantap dijangka di Melbourne, Grand Slam paling berjaya buat Djokovic yang mana dia menang lima daripada lima final, termasuk tahun lalu menentang Andy Murray.

Namun, juara 10 gelaran utama itu tidak mahu memikirkan kejohanan utama lain selain Grand Slam pertama tahun ini, bermula Isnin ini.

“Tumpuan saya hanya diarahkan kepada Melbourne dan apa yang perlu saya lakukan di sana,” katanya.

Murray, yang berada di bahagian bawah undian lelaki dan dijangka bertemu Djokovic pada final 31 Januari ini, melihat pemain Serbia itu sebagai cabaran utamanya.