Joker juara Miami

Joker juara Miami

MIAMI, 4 April (AFP) – Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic mengatasi Roger Federer selaku pemain menerima bayaran tertinggi dalam sejarah Jelajah ATP selepas merangkul mahkota kejuaraan ketiga berturut-turut Terbuka Miami.

Dalam aksi final awal pagi ini, pemain Serbia itu menang 6-3, 6-4 mengatasi pemain Jepun, Kei Nishikori.

Kemenangan Djokovic merupakan kemenangan keenam dalam kariernya di Miami yang menyamai rekod Andre Agassi, sekali gus menyaksikannya mengumpul $1.028 juta, meletakkan pemain itu di atas Federer selaku pendahulu pungutan wang kemenangan ATP dengan $98,199,548 berbanding pemain Switzerland itu dengan $97,855,881.

“Ia adalah persembahan terbaik saya dalam kejohanan ini. Ia hadir pada waktu yang tepat berdepan pemain yang hebat,” kata pemain Serbia berusia 28 tahun itu.

Djokovic mengucup trofi selepas menyingkirkan Kei Nishikori pada Perlawanan Akhir Terbuka Miami di Crandon Park Tennis Center kelmarin. – Reuters
Djokovic mengucup trofi selepas menyingkirkan Kei Nishikori pada Perlawanan Akhir Terbuka Miami di Crandon Park Tennis Center kelmarin. – Reuters

Kemenangan Djokovic juga menyaksikannya mencipta rekod 28 kemenangan gelaran Masters ATP, satu melebihi rekod lama dikongsi bersama pemain Sepanyol, Rafael Nadal.

“Kemenangan terbanyak saya dalam acara Masters ialah pencapaian yang menakjubkan, saya amat bangga,” kata Djokovic.

Kemenangan itu adalah kejayaan ke-714 sepanjang karier Djokovic, meletakkannya ke kedudukan ke-11 dalam senarai pemain terbanyak meraih kemenangan, satu melebihi jurulatihnya yang juga juara enam kali Grand Slam dari Jerman, Boris Becker.

ARTIKEL YANG SAMA