Joker juara terbuka AS

Joker juara terbuka AS

NEW YORK, 14 Sept (AFP) – Novak Djokovic meraih gelaran ke-10 Grand Slam selepas beraksi pada tahap terbaik menewaskan musuh ketat Roger Federer pada final Terbuka Amerika Syarikat, semalam.

Bintang Serbia berusia 28 tahun itu menundukkan Federer pemenang 17 Grand Slam dengan keputusan 6-4, 5-7, 6-4, 6-4 di Stadium Arthur Ashe selepas terikat 21-21 dalam pertarungan paling sengit dalam sejarah tenis.

Federeryang masih kental beraksi pada usia 34 tahun, belum menambah koleksi Grand Slam sejak 2012 di Wimbledon. Pemain Switzerland itu kecundang kepada Djokovic pada final Terbuka Amerika Syarikat dan Wimbledon tahun ini.

“Bertarung pada perlawanan menentang pemain terbaik dalam sejarah permainan itu memberi tekanan tambahan,” kata Djokovic. “Dia masih mengekalkan tahap tinggi yang dimilikinya. Saya perlu mempamerkan aksi terbaik menentangnya dan itulah diperlukan apabila sampai ke tahap sekarang.”

Djokovic menjulang trofi Terbuka AS selepas menewaskan Roger Federer di Pusat Tenis USTA Billie Jean King di New York semalam. – AFP
Djokovic menjulang trofi Terbuka AS selepas menewaskan Roger Federer di Pusat Tenis USTA Billie Jean King di New York semalam. – AFP

Djokovic membuat servis pada kedudukan 5-2 set keempat apabila Federer berjaya mematahkannya dan mengancam lagi apabila Djokovic membuat servis dalam permainan terakhir sebelum tunduk selepas tiga jam 20 minit.

“Roger menunjukkan mengapa dia seorang juara dan memaksa saya bermain hingga ke mata terakhir,” kata Djokovic. “Adalah satu kelegaan besar apabila saya melihat pukulan forehandnya tersasar. Saya akan mencuba, menikmati dan memupuk kemenangan ini selama mana yang saya boleh.”

Kekalahan bermakna Federer gagal muncul pemain tertua bergelar pemenang di Terbuka Amerika Syarikat sejak Ken Rosewall melakukannya pada usia 35 tahun dalam tahun 1970.

“Persaingan amat menarik,” kata Federer. “Sentiasa sukar menentang satu sama lain. Saya rasa kami berjalan jauh daripada itu dengan mengetahui lebih lanjut mengenai permainan dan tentang diri kami yang sebenarnya.”