Joker terus buru gelaran

Joker terus buru gelaran

LONDON, 10 Julai (AFP) – Pemain tenis No. 1 dunia, Novak Djokovic meneruskan misi untuk mempertahankan kejuaraan Wimbledon apabila melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan juara Terbuka Amerika Syarikat, Marin Cilic 6-4, 6-4, 6-4, semalam.

Bagaimanapun, lawan yang bakal ditentang jaguh Serbia itu bukan juara Terbuka Perancis dan pemain No. 4 dunia, Stan Wawrinka seperti yang diramalkan, sebaliknya, Djokovic akan berdepan pilihan ke-21 dari Perancis, Richard Gasquet.

Satu lagi perlawanan separuh akhir pula menemukan dua bekas juara iaitu pemain No. 2 dunia, Roger Federer dari Switzerland dan bintang tuan rumah yang juga pemain No. 3 dunia, Andy Murray.

Federer yang turun bersama reputasi selaku juara tujuh kali melayakkan diri ke separuh akhir Wimbledon buat kali ke-10 selepas mengalahkan pilihan ke-12 dari Perancis, Gilles Simon 6-3, 7-5, 6-2.

Murray, juara 2013, melangkah ke separuh akhir keenam dalam tempoh tujuh tahun selepas menundukkan Vasek Pospisil dari Kanada 6-4, 7-5, 6-4.

Djokovic dan Richard Gasquet bergambar untuk media sebelum aksi separuh akhir Wimbledon semalam. – AFP
Djokovic dan Richard Gasquet bergambar untuk media sebelum aksi separuh akhir Wimbledon semalam. – AFP

Terdahulu, Gasquet menempah pertemuan dengan Djokovic selepas mengetepikan Wawrinka dalam pertarungan sengit lima set 6-4, 4-6, 3-6, 6-4, 11-9.

“Saya harap saya mempunyai gear tambahan dan ia boleh digunakan dalam perlawanan separuh akhir. Saya kini memasuki pentas lebih besar,” kata Djokovic sejurus menyingkirkan pilihan kesembilan dari Croatia, Cilic.

Djokovic, 13, memenangi semua 13 perlawanan ke atas Cilic, malah memegang rekod pertemuan yang hebat ke atas Gasquet apabila menang 12 daripada 13 perlawanan mereka.

“Persembahan saya hari ini lebih mantap jika dibandingkan ketika menentang Kevin (Anderson) dalam pusingan keempat (menang lima set).

“Pemain-pemain utama dijangka melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini, namun bagi saya… berjaya ke separuh akhir sudah cukup menggembirakan kerana saya sedar laluan tidak mudah,” kata Djokovic, yang turut merangkul gelaran Wimbledon pada 2011.