Jokowi gesa ASEAN bersatu perangi dadah

JAKARTA, 11 Ogos – Indonesia hari ini menggesa negara-negara anggota ASEAN bergabung dan bersatu dalam memerangi dadah di peringkat wilayah.

Presiden Joko Widodo berkata dadah kini menjadi ancaman besar dalam rentas sempadan dan negara-negara anggota Asia Tenggara itu harus bertindak secara bersama untuk menanganinya.

“Ancaman besar jenayah lintas batas yang perlu mendapatkan perhatian ASEAN adalah perdagangan ubat-ubatan terlarang. Kita harus menyatakan perang kepada narkoba (dadah) dan ubat-ubat terlarang,” katanya dalam ucaptama bersempena sambutan peringatan 50 tahun ASEAN di Sekretariat ASEAN di sini.

Yang turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Wakil Tetap Malaysia di ASEAN, Datuk Sharifah Norhana Syed Mustaffa.

Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu berkata pengedaran dadah di rantau ini kini semakin serius dan telah merosak generasi muda serta mengancam masa depan negara.

“Kita tidak ingin para pemuda di ASEAN kehilangan masa depannya kerana dirosakkan oleh dadah dan tidak ada jalan lain kecuali kita bersatu menyelamatkan ASEAN daripada narkoba dan ubat-ubatan terlarang,” katanya.

Beliau berkata ASEAN yang kini berusia 50 tahun selalu bersama berganding tangan dalam semangat persaudaraan dan kerjasama itu harus diperluaskan sehingga membanteras jenayah pengedaran dadah.

Jokowi sebelum ini mengisytiharkan Indonesia sebagai darurat dadah dan mahu semua pihak memeranginya secara habis-habisan serta mengarah pihak berkuasa menembak mati pengedar dadah yang cuba melawan ketika ditangkap. – Bernama