Jokowi jangan terburu-buru – Yudhoyono

Jokowi jangan terburu-buru – Yudhoyono

JAKARTA, 11 Ogos – Bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyelar rancangan pentadbiran Joko Widodo (Jokowi) yang mahu mewujudkan semula undang-undang menghalang penghinaan terhadap pemimpin negara.

Yudhoyono berkata, sepanjang pemerintahannya beliau selalu menjadi mangsa penghinaan, namun tidak menghiraukan perkara itu dan sebaliknya menumpukan pada tugasnya.

“Gambar saya dibakar dan dipijak. Seekor kerbau diarak di jalan raya dengan tulisan SBY di belakangnya. Perkataan yang kurang sopan dan menghina saya disiarkan di media dan ketika perhimpunan awam,” kata Yudhoyono.

Katanya, beliau menerima lebih banyak penghinaan berbanding Presiden ketika ini, sekali gus tiada sebab untuk Jokowi mengambil tindakan undang-undang.

“Semua orang termasuk presiden mempunyai hak membuat laporan sekiranya ada pihak menghina atau memfitnah mereka.

Presiden Joko Widodo (kiri) dan bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono. – Reuters
Presiden Joko Widodo (kiri) dan bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono. – Reuters

“Bagaimanapun, sekiranya saya sering membuat laporan ia membuatkan pentadbiran saya kurang berkesan,” jelasnya. Menurutnya, mungkin beratus-ratus orang ditahan polis dan disiasat sekiranya beliau menggunakan haknya dan membuat laporan polis.

“Sekiranya ini berlaku, rakyat tidak berani untuk mengkritik dasar kerajaan dan menyuarakan pendapat dengan bebas.

“Rakyat akan takut mereka dipenjarakan dan ditahan polis dan ini menyebabkan kerajaan tidak mengetahui pendapat rakyat.

“Sekiranya pemimpin tidak memahami perasaan dan fikiran rakyat, media pula dibisukan, saya bimbang ini bakal menjadi satu bom jangka,” katanya. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA