Jokowi lawat Natuna

Jokowi lawat Natuna

JAKARTA, 23 Jun (AFP) – Presiden Joko Widodo (Jokowi) melawat pulau terpencil Indonesia dengan menaiki kapal perang hari ini untuk menunjukkan kuasanya setelah pertempuran dengan kapal China tatkala kebimbangan meningkat bahawa Beijing berusaha menambah tuntutan hak milik di kawasan tersebut.

Widodo memimpin perwakilan termasuk menteri luar negeri dan ketua angkatan bersenjata ke Pulau Natuna Indonesia di Laut China Selatan, tiba di pangkalan tentera laut sebelum diiringi ke kapal perang tatkala jet pejuang terbang di atas dan kapal tentera laut menjalankan latihan di luar pantai.

Beliau dijangka menganjurkan satu mesyuarat kabinet di kapal perang, yang pada minggu lalu menahan sebuah kapal pukat tunda yang dituduh beroperasi secara haram di perairan Indonesia.

Menteri Keselamatan Luhut Panjaitan berkata lawatan bertujuan menghantar ‘mesej jelas’ bahawa Indonesia bersikap “amat serius dalam usahanya untuk melindungi kedaulatannya.”

“Sepanjang sejarah kami, kami tidak pernah bersikap setegas ini,” beritahu Panjaitan, yang menemani Widodo pada lawatan, kepada akhbar The Jakarta Post.

Joko Widodo (tiga, kanan), di dek kapal perang laut KRI Imam Bonjol, di perairan Pulau Natuna, Indonesia, pada 23 Jun. – AP
Joko Widodo (tiga, kanan), di dek kapal perang laut KRI Imam Bonjol, di perairan Pulau Natuna, Indonesia, pada 23 Jun. – AP

Setiausaha Kabinet Pramono Anung menambah “Natuna adalah wilayah Indonesia – ia adalah muktamad.”

Beijing menuntut kedaulatan ke atas hampir kesemua kawasan Laut China Selatan, dan ketegangan serantau semakin meningkat disebabkan pembinaan pulau China dan sebelum keputusan tribunal yang disokong PBB ke atas cabaran Filipina terhadap tuntutan China.

Tidak seperti beberapa negara jiran Asia Tenggara, Indonesia telah lama menegaskan ia tidak mempunyai perbalahan laut dengan China di laut tersebut dan tidak mempunyai tuntutan bertindih ke atas terumbu atau pulau kecil di sana. Beijing sendiri berkata ia mengiktiraf kedaulatan Indonesia ke atas Pulau Natuna.

Namun tuntutannya bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia – perairan di mana sesebuah negara mempunyai hak untuk mengeksploitasi sumber – di sekitar Natuna, dan lawatan Widodo diadakan selepas peningkatan mendadak dalam pertempuran laut dengan China di kawasan tersebut pada tahun ini.