Jokowi lupus lebih 3,000 undang-undang kerajaan

Jokowi lupus lebih 3,000 undang-undang kerajaan

JAKARTA, 23 Jun (Bernama) – Kerajaan Indonesia melupuskan sebanyak 3,143 undang-undang kerajaan tempatan termasuk 111 undang-undang yang di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri mulai Julai depan.

Media tempatan memetik Ketua Pengarah Kementerian Dalam Negeri Soni Sumarsono sebagai berkata undang-undang yang dilupuskan itu kebanyakannya berkaitan dengan peraturan perniagaan dan pelaburan asing.

Katanya undang-undang yang dihapuskan itu bukan kerana ia bermasalah, tetapi kebanyakannya didapati melembapkan proses perniagaan dan pelaburan asing di samping terdapat juga yang bercanggah dengan undang-undang pusat.

Soni berkata kerajaan pusat mendapati terdapat undang-undang yang menyebabkan seseorang ahli perniagaan terpaksa berurusan dengan banyak pihak dan dengan pelupusannya membolehkan kerajaan memperkenalkan satu pusat sehenti bagi urusan pelaburan dan perniagaan.

Baru-baru ini Presiden Joko Widodo mengeluarkan arahan pelupusan beribu-ribu undang-undang kerajaan tempatan dan mahu negara republik itu memudahkan urusan perniagaan.

“Saya tegaskan bahawa pembatalan (undang-undang) ini untuk menjadikan Indonesia sebagai bangsa yang besar, yang toleran dan yang memiliki daya saing,” katanya.