Jokowi mahu ojek terus beroperasi

Jokowi mahu ojek terus beroperasi

JAKARTA, 18 Dis (Bernama) – Presiden Indonesia Joko Widodo mahukan perkhidmatan teksi motosikal atau ojek dibenarkan beroperasi di seluruh negara kerana ia dianggap sebagai satu keperluan rakyat.

Presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu dipetik oleh media dalam talian sebagai memberi reaksi segera berhubung arahan pengharaman ojek oleh Kementerian Perhubungan.

Jokowi berkata beliau akan memanggil Menteri Perhubungan Ignasius Jonan untuk menarik semula arahan pengharaman ojek sebagai pengangkutan awam di negara ini.

Katanya kerajaan tidak seharusnya mengenakan peraturan yang menyusahkan atau merugikan rakyat dan perkhidmatan ojek menerusi internet juga adalah sesuatu yang diperlukan oleh rakyat.

Pada September lepas, Jokowi pernah mengajak operator pengangkutan awam termasuk syarikat operator ojek yang menawarkan perkhidmatan dalam talian dikenali sebagai Go-Jek untuk makan tengah hari bersamanya di Istana Negara bagi membincangkan pelbagai isu dan masalah yang timbul.

Presiden Indonesia Joko Widodo. – Reuters
Presiden Indonesia Joko Widodo. – Reuters

Perkhidmatan ojek mula beroperasi secara persendirian sejak lebih 15 tahun lepas dan ia mendapat sambutan daripada rakyat di negara ini sebagai pengangkutan alternatif untuk mengelak mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutamanya untuk berulang alik ke pejabat dari stesen kereta api atau stesen bas.

Pengangkutan ojek kini dikendalikan secara profesional oleh beberapa buah syarikat dengan menyediakan perkhidmatan panggilan secara dalam talian dan pekerjanya diberikan jaket seragam.

Media-media tempatan hari ini memetik Ketua Pengarah Perhubungan Darat Kementerian Perhubungan, Djoko Sasono sebagai berkata kerajaan Indonesia telah mengeluarkan larangan perkhidmatan terhadap semua jenis ojek.

Katanya Kementerian Perhubungan melarang semua jenis perkhidmatan ojek termasuk yang beroperasi secara dalam talian kerana ia dinilai tidak memenuhi ketetapan sebagai pengangkutan awam.

“Apa pun namanya, pengoperasian sejenis, Go-Jek, Go-Box, Grab Bike, Grab Car, Blue Jek, Lady-Jek, dilarang,” katanya.

Beliau berkata surat arahan larangan itu telah diedarkan kepada Polis Trafik, Pejabat-pejabat polis daerah dan Gabenor di seluruh Indonesia kerana menurut undang-undang, pengangkutan awam haruslah minimal beroda tiga, memenuhi peraturan dan memiliki kelulusan penyelenggaraan angkutan umum.

ARTIKEL YANG SAMA