Jokowi minta tiada lagi demonstrasi susulan

Jokowi minta tiada lagi demonstrasi susulan

JAKARTA, 11 Nov – Presiden Joko Widodo hari ini meminta pihak penganjur demonstrasi membantah Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama supaya tidak mengadakan perhimpunan susulan yang dihebahkan kononnya akan berlaku pada 25 November depan.

Presiden Republik Indonesia yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi itu berkata mana-mana pihak tidak perlu menganjurkan lagi demonstrasi bagi tujuan membantah penyandang Gabenor Jakarta itu kerana polis telah pun memulakan siasatan terhadapnya berkaitan kes penistaan agama.

“Kita mengharapkan agar sudah tidak ada demo-demo lagi,” katanya seperti yang dipetik media dalam talian selepas melawat Markas Pasukan Khas Polis Mobil (Mobile Brigade) di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun pasukan pihak berkuasa dan keselamatan telah diarah untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran terdapat ura-ura kononnya ratusan umat Islam akan kembali berhimpun dan mengadakan demonstrasi susulan pada Jumaat depan.

Jokowi sebelum ini mengunjungi markas tentera dan polis serta mengadakan perjumpaan dengan dua pertubuhan Islam terbesar iaitu Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama bagi membincangkan isu-isu berkaitan insiden demonstrasi pada 4 November lepas.

Ahok ketika bertemu pengundi di Pulau Seribu pada September lepas didakwa meminta umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pihak menggunakan Surah Al Maidah dalam Al-Quran yang melarang umat Islam memilih golongan bukan Islam menjadi pemimpin mereka.– Bernama

ARTIKEL YANG SAMA