Jokowi pecah tradisi tentera

Jokowi pecah tradisi tentera

JAKARTA, 10 Jun (Reuters) – Presiden Indonesia Joko Widodo, telah melantik Ketua Turus Tentera untuk mengetuai Tentera Nasional Indonesia (TNI), menurut jurucakap istana presiden hari ini, sekali gus memecah tradisi era pembaharuan apabila jawatan itu secara bergilir-gilir dipegang antara cawangan-cawangan pasukan bersenjata.

Ketua pasukan tentera udara sepatutnya mengetuai angkatan bersenjata selepas ketua sekarang, Jeneral Moeldoko juga daripada tentera darat, akan bersara pada 1 Ogos nanti.

Keputusan Widodo untuk menaikkan pangkat Jeneral Gatot Nurmantyo mungkin mencetuskan persengketaan lama dalam pasukan bersenjata, menurut para penganalisis.

“Ia sepatutnya giliran pasukan tentera udara dan mereka akan berasa tidak gembira atas keputusan ini,” kata penganalisis pertahanan Yohanes Suleiman.

“Itu adalah cara tentera untuk memastikan mereka terus relevan ketika Jokowi memantapkan pasukan tentera laut dan udara untuk memburu matlamat maritimnya,” ujarnya, sambil merujuk kepada nama julukan presiden itu.

Gambar fail menunjukkan Presiden Jokowi ketika menghadiri salah satu acara yang membabitkan pelaksanaan projek pembangunan perumahan untuk anggota TNI di Jakarta. – AFP
Gambar fail menunjukkan Presiden Jokowi ketika menghadiri salah satu acara yang membabitkan pelaksanaan projek pembangunan perumahan untuk anggota TNI di Jakarta. – AFP

Pihak ketenteraan mempunyai sejarah panjang penglibatan dalam politik Indonesia dan hanya dikeluarkan dari arena politik selepas kejatuhan Jeneral Suharto, pemerintah autoritarian pada 1998.

Jurucakap presiden Teten Masduki mempertahankan pemilihan ketua tentera itu, yang telah dikemukakan kepada Parlimen bagi kelulusan semalam, sambil mengatakan tidak perlu untuk terus mengikut kelaziman.

“Selaku ketua pemerintah, presiden berkuasa untuk melantik ketua ketenteraan dengan kelulusan parlimen,” Masduki berkata dalam satu kenyataan.

“Presiden memilih Nurmantyo kerana percaya dia boleh mengukuhkan ketenteraan untuk menangani perubahan geopolitik dan geo-strategik.”