Jom sertai Perkhemahan Iklim

Jom sertai Perkhemahan Iklim

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Dalam usaha untuk meningkatkan penghargaan terhadap alam semula jadi, Green Brunei menyeru para ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang berusia di antara 14 hingga 18 tahun untuk menyertai Perkhemahan Iklim (Climate Camp), yang akan bermula dari 4 hingga 6 April di Eco Sumbiling Village, Temburong.

Melalui perkhemahan itu nanti, para peserta akan menikmati keseronokan melalui aktiviti-aktiviti pendidikan dalam persekitaran alam semula jadi, mempelajari pelbagai tumbuhan dan serangga-serangga yang dijumpai dalam di sekitar perkhemahan, makan makanan daripada sumber tempatan dan mengamalkan amalan kitar semula dan penggubahan.

Menurut kenyataan di sini, perkhemahan itu nanti akan dimudahcara oleh ahli-ahli Green Brunei dan suku Iban tempatan dari perkampungan itu.

Di samping itu, para peserta juga akan mempelajari lagi mengenai perubahan iklim melalui perbincangan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh ketua-ketua Realiti Iklim yang dilatih oleh Al Gore.

Dayang Khairunnisa mengetuai salah satu sesi suai kenal.
Dayang Khairunnisa mengetuai salah satu sesi suai kenal.
Awang Norazwan dan Dayang Khairunnisa, ketua Realiti Iklim pertama dari Brunei Darussalam.
Awang Norazwan dan Dayang Khairunnisa, ketua Realiti Iklim pertama dari Brunei Darussalam.

Pada masa yang sama, perkhemahan itu juga akan mendedahkan para peserta terhadap keajaiban-keajaiban yang terdapat di hutan hujan Temburong melalui meredah hutan, berjalan malam, aktiviti-aktiviti air dan lawatan ke Canopy Walk.

Di akhir perkhemahan, para peserta akan pulang dengan perasaan lebih menghargai alam semula jadi, pengetahuan mengenai bagaimana memulihara persekitaran, membangunkan kemahiran kepimpinan dan secara keseluruhan bersuka ria.

Bayaran masuk perkhemahan ini akan termasuk perjalanan bot di antara Bandar Seri Begawan dan Temburong, tempat tinggal, makanan, perjalanan, bahan-bahan program dan sijil di akhir program.

Tarikh akhir mendaftar adalah pada 31 Mac dan boleh dilakukan melalui dalam talian http://green-brunei.com/climatecamp. Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi info@green-brunei.com atau melalui talian 8198812.

ARTIKEL YANG SAMA