Jordan Ibe kukuhkan Liverpool

Jordan Ibe kukuhkan Liverpool

PARIS, 6 Nov (AFP) – Jaringan tunggal Jordan Ibe menyaksikan Liverpool terus mengukuhkan kedudukan pada saingan peringkat kumpulan Liga Europa menewaskan Rubin Kazan 1-0, semalam.

Selepas tiga keputusan seri berturut-turut, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp nyata meneruskan rentak penguasaan skuadnya beraksi di Rusia selepas mencatatkan kemenangan bergaya menewaskan Chelsea 3-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Meskipun mendominasi hampir keseluruhan permainan, tiba giliran Ibe untuk membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-53.

“Jordan adalah pemain yang mempunyai kemahiran dan berbakat besar, dia pantas, gagah dan pandai menggelecek bola,” kata Klopp memberitahu akhbar Liverpool Echo.

“Dia perlu belajar lagi namun dia mempunyai asas kemahiran yang baik. Dia bermain baik dan kami boleh melihat permainannya,” kata pengurus dari Jerman itu terhadap pemain sayap berusia 19 tahun yang dilahirkan di London itu.

Sementara itu, pendahulu Kumpulan B, Sion harus berterima kasih kepada Veroljub Salatic apabila jaringannya pada lewat permainan menyelamatkan satu mata untuk seri 1-1 dengan Bordeaux.

Liverpool kini mengumpul enam mata, hanya dua mata ketinggalan daripada Sion dan tiga mata di depan Bordeaux.