Jordan Spieth laung amaran awal

Jordan Spieth laung amaran awal

AUGUSTA, 8 April (AFP) – Juara bertahan Jordan Spieth mendahului pusingan pembukaan saingan Masters yang berakhir sebentar tadi dengan pemain New Zealand Danny Lee dan Shane Lowry (Ireland) ketinggalan dua pukulan di belakang.

Jaguh nombor dua dunia berusia 22 tahun itu, merakam pukulan tanpa bogey enam di bawah par 66 untuk menyamai rekod pukulan terendah di pusingan pertama oleh juara Masters 1995, Jose Maria Olazabal dari Sepanyol.

Lee, yang tidak melepasi cut pada 2009 dalam satu-satunya penampilan Masters, menduduki tempat kedua dengan melakukan 68 pukulan di lapangan Augusta National.

Selepas tiga birdie dan dua bogey pada lapan lubang pertama, dia memulakan aksi sembilan lubang terakhir dengan membenam birdie dan menambah dua lagi pada lubang ke-12 dan 16.

Spieth dahului pusingan pembukaan Masters di Augusta semalam. – AFP
Spieth dahului pusingan pembukaan Masters di Augusta semalam. – AFP

Lowry pada mulanya kelihatan hampir muncul pendahulu hari pertama dengan membenam empat birdie berturut-turut dan lima birdie keseluruhan pada sembilan lubang pertama, namun pukulan kurang menjadi pada sembilan lubang terakhir memaksanya berpuas hati dengan 68 pukulan.

Rory McIlroy, yang mahu melengkapkan karier Grand Slam dengan menyambar jaket hijau di Masters tidak jauh di belakang dengan tiga di bawah 69 selepas menjadi pemain terakhir membuat tee-off.

Terikat bersama bintang Ireland Utara itu trio England Ian Poulter, Paul Casey dan Justin Rose.