Jordan Spieth tawan Terbuka AS

Jordan Spieth tawan Terbuka AS

UNIVERSITY PLACE, Washington, 22 Jun (AFP) – Juara Masters, Jordan Spieth menambah satu lagi lembaran baharu dalam buku rekod sukan golf, selepas menakluk Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang berakhir dengan penuh drama di Chambers Bay, di sini, semalam.

Pemain muda AS itu membenam birdie dari jarak 28 kaki pada lubang ke-16 untuk mendahului tiga pesaingnya, namun merosot selepas itu apabila catat double-bogey pada lubang ke-17, sebelum akhirnya muncul sebagai pemain keenam menjuarai Terbuka AS pada tahun sama.

Meskipun, Spieth mendapat birdie pada lubang terakhir par lima untuk merapatkan kedudukan dengan catatan 69, dia terpaksa menanti, Dustin Johnson yang menjadi rakan gandingan pada aksi final, melakukan eagle pada jarak 12 kaki untuk menang.

Johnson bagaimanapun tidak dapat menyempurnakan cubaan berkenaan dan kemudian selepas itu turut gagal melakukan birdie menerusi putt pada jarak empat kaki, bagi memberinya peluang berentap dengan Spieth dalam perlawanan penentuan.

Spieth yang berusia 21 tahun, secara keseluruhannya mencatat lima di bawah 275 untuk muncul sebagai pemain muda pertama memenangi Terbuka AS sejak Bobby Jones melakukannya pada 1923.

Jordan Spieth mengucup trofi selepas berjaya menakluki Terbuka AS di Chambers Bay, semalam. – Reuters
Jordan Spieth mengucup trofi selepas berjaya menakluki Terbuka AS di Chambers Bay, semalam. – Reuters

“Saya dalam keadaan terperanjat,” Spieth memberitahu stesen televisyen FOX. “Saya menyaksikan (Johnson) bersama kedi, Michael Greller dari dalam.

“Saya hanya mahu peluang berentap esok. Saya simpati dengan Dustin. Saya dapat rasakan situasi itu pada lubang ke-17. Namun saya berasa bangga dapat bangkit pada lubang 18.”

Ditanya bagaimana dia boleh bangkit selepas mencatat double pada lubang ke-17 par tiga, Spieth berkata: “Saya gembira pada lubang ke-18. Saya berjaya melakukan pukulan awal di mana saya mahukannya”

Spieth, yang mengejutkan sukan dunia golf apabila memenangi Masters pada April lalu, muncul sebagai pemain muda merangkul kejuaraan major pada tahun sama sejak Gene Sarazen pada 1922 (Terbuka AS dan Kejuaraan PGA).

Sementara itu, Johnson yang memburu kejuaraan major pertama, terpaksa berpuas hati di tangga kedua, berkongsi kedudukan dengan pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen, yang mencipta sensasi apabila mencatat enam birdie daripada tujuh lubang termasuk lima berturut-turut bermula di lubang ke-12, bagi catatan 67.