Joseph tampilkan gaya lelaki segak dan bergaya

Oleh Zanyra Dawoud

 

SEGAK, tampan dan bergaya tetap menjadi elemen utama yang ditampilkan pada koleksi pakaian lelaki terbaru keluaran jenama Joseph.

Terdapat pelbagai gaya yang ditampilkan di dalam koleksi terbaru ini dan salah satunya adalah jaket bomber berkonsepkan ketenteraan yang didatangkan pada warna hijau dan coklat di mana setentunya ia akan mewujudkan imej dan gaya yang sangat vintaj.

Kardigan dan juga jaket panjang turut ditampilkan di mana ia jelas merupakan satu pilihan yang semakin popular sehingga menjadikan lelaki yang menggayakannya akan kelihatan cukup trendy.

Dalam usaha menampilkan gaya kemas dan segak pada seseorang lelaki, kot dan tuxedo juga turut dikeluarkan dalam koleksi terbaru ini di mana ia juga turut menampilkan gaya maskulin pada seseorang lelaki yang menggayakannya.

Bukan sahaja menampilkan kot dan tuksedo yang terdiri daripada corak yang polos malah Joseph juga turut menampilkannya pada corak menarik seperti checker yang berpetak-petak

Lebih menarik lagi fabrik berkualiti seperti Japanese wool telah dipilih untuk menzahirkan busana tersebut dan kualitinya setentunya semakin meningkat apabila jahitan yang ditampilkan juga dilakukan dengan cukup teliti.

Warna-warna yang ditampilkan dalam koleksi terbaru ini terdiri daripada pilihan warna maskulin yang setentunya menyerlahkan lagi gaya seorang lelaki yang segak dan bergaya.