JPA terima rombongan dari Melaka

JPA terima rombongan dari Melaka

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Bahagian Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi, telah menerima kunjungan daripada rombongan Negeri Melaka, Malaysia, di Bangunan Bahirah, Jalan Menteri Besar.

Rombongan seramai 17 orang dari Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Daerah Melaka Tengah (MGBKDMT) itu diketuai oleh Pengerusi MGBKDMT, Chan Chin Ho selaku penyelaras rombongan lawatan kerja.

Ketibaan rombongan di Bahagian Perkhidmatan Kaunseling dialu-alukan oleh Pengarah Perkhidmatan Kaunseling, Awang Mohamad Murad bin Haji Paijan.

Dalam lawatan itu, mereka diberikan penerangan mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab bahagian berkenaan oleh Pegawai Kaunselor Kanan, Dayang Noresamsiah binti Haji Mohammad Hussin.

Beliau antara lain menjelaskan mengenai sejarah penubuhan, tatacara rujukan, program-program yang dijalankan serta isu-isu yang berbangkit mengenai kaunseling. Program-program yang dimaksudkan adalah Al-Insyirah, Rakan Musaaid, Kem Kepimpinan Ala-miah (KEKAL) dan dokongan.

Awang Mohamad Murad (kiri) ketika menerima cenderamata daripada Chan Chin Ho.
Awang Mohamad Murad (kiri) ketika menerima cenderamata daripada Chan Chin Ho.
Rombongan MGBKDMT dan kakitangan Bahagian Perkhidmatan Kaunseling bergambar ramai.
Rombongan MGBKDMT dan kakitangan Bahagian Perkhidmatan Kaunseling bergambar ramai.

Program yang dilaksanakan berkenaan adalah selaras dengan matlamat pelan strategik Bahagian Perkhidmatan Kaunseling, dan dalam tiga tahun kebelakangan ini perlaksanaan program-program berkenaan menunjukkan peningkatan.

Rombongan kemudian juga berkesempatan meninjau dan melawat pejabat Bahagian perkhidmatan Kaunseling, sambil beramah mesra dengan pegawai-pegawai di bahagian tersebut, dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati serta bergambar ramai.

Tujuan lawatan itu adalah bagi mendedahkan para guru kaunseling kepada ilmu dan pengalaman perkhidmatan kaunseling di Negara Brunei Darussalam.

Justeru itu, ia diharapkan membuka minda para guru kaunseling untuk membuat transformasi dalam bidang kerjaya mereka, juga secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim di antara kedua-dua buah negara.